Sunday, May 17, 2009

Senarai penumpang pesawat dari Newark diedar

Senarai penumpang pesawat dari Newark diedar


DUA kakitangan Hospital Sungai Buloh memakai topeng muka dan pakaian khas membawa bungkusan pakaian seorang pesakit yang disyaki menghidap Influenza A di hospital itu, semalam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sudah mengedarkan senarai 119 penumpang penerbangan MH091 dari Newark, Amerika Syarikat termasuk 15 anak kapalnya, ke semua Jabatan Kesihatan Negeri bagi tindakan segera seperti pengesanan, pengawasan dan kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata nama 73 penumpang lain yang meneruskan penerbangan ke luar negara pada 13 Mei lalu, turut dirujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tindakan negara masing-masing.

"Semua penumpang terbabit dinasihatkan mengikut arahan pihak kesihatan dengan mematuhi langkah kawalan yang diberikan iaitu kuarantin di rumah sebelum pemantauan kesihatan dilakukan.

"Daripada jumlah itu, tiga penumpang yang transit di Kuala Lumpur turut diletakkan di bawah pemerhatian di Hospital Sungai Buloh bagi tujuan kuarantin sehingga Rabu ini," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perkembangan terbaru setakat jam 12 malam kelmarin, menyaksikan Pusat Kesiapsiagaan Dan Respons Krisis (CPRC), kementerian menerima 16 lagi notifikasi kes dengan sembilan kes dirujuk ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, masing-masing dua kes di Hospital Tunku Fauziah, Kangar; Hospital Melaka dan Hospital Pulau Pinang serta satu kes di Hospital Sultan Aminah, Johor.

Daripada jumlah itu, 12 sampel daripada 15 yang diambil disahkan negatif, manakala selebihnya belum diketahui.

Katanya, 20 pengimbas suhu badan di pasang di semua pintu masuk dan seramai 7,528 individu yang tiba dari negara terbabit H1N1 telah disaring iaitu 6,308 orang di pintu masuk udara, pelabuhan (447) dan di pintu masuk darat (773).

"Bilik CPRC turut menerima 131 pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pandangan mengenai perjalanan ke luar negara, rawatan, vaksin dan saringan berkaitan H1N1. Panggilan berkenaan termasuk 35 daripada penumpang yang menaiki penerbangan MH091 pada pagi 13 Mei lalu," katanya.

Dr Ismail berkata, kementerian akan terus memaklumkan orang ramai mengenai situasi semasa wabak itu melalui laman web kementerian dan hebahan media dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment