Sunday, May 17, 2009

Budak pulang dari London antara disaring

Budak pulang dari London antara disaring


JURURAWAT dan orang ramai memakai topeng penutup mulut ketika mengunjungi Hospital Pulau Pinang sebagai langkah berjaga-jaga selepas seorang pesakit di hospital berkenaan disahkan dijangkiti virus Influenza A, semalam.

SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang diserang demam sebaik pulang dari London antara mereka yang membuat saringan pemeriksaan Influenza A (H1N1) di Hospital Sungai Buloh, di sini, semalam.

Kanak-kanak itu pulang dari London bersama ibunya beberapa hari lalu masih pada peringkat saringan dan belum disahkan dijangkiti virus H1N1.

Bagaimanapun, dia datang ke Hospital Sungai Buloh bersama bapanya, manakala ibunya tidak mendapatkan pemeriksaan kerana tiada simptom padanya yang boleh dikaitkan dengan Influenza A.

Selain itu, dua orang lelaki dalam lingkungan 20-an, turut mendapatkan pemeriksaan. Kedua-duanya baru pulang dari luar negara tetapi tidak menyebut nama negara dikunjungi.

Lelaki pertama yang datang sekitar jam 1 tengah hari dikuarantinkan untuk pemeriksaan kerana dikesan memiliki simptom Influenza A, manakala lelaki kedua yang datang sekitar jam 1.45 petang dibenarkan pulang selepas disahkan bebas simptom berkaitan.

Pengesahan diagnosis kanak-kanak perempuan dan lelaki pertama itu hanya diketahui dalam tempoh 10 jam selepas ujian dilakukan.

Bagaimanapun, pihak Hospital Sungai Buloh enggan memberikan maklumat lanjut

Pusat Tindakan Kementerian Kesihatan ketika dihubungi berkata, setakat ini banyak panggilan diterima daripada penumpang pesawat MH091 dari New York ke Kuala Lumpur yang turut dinaiki dua pesakit yang disahkan mengalami Influenza A.

No comments:

Post a Comment