Tuesday, May 26, 2009

Tambang pengangkutan wajar naik

Tambang pengangkutan wajar naik

KUALA LUMPUR 25 Mei - Langkah kerajaan mengkaji semula kadar tambang pengangkutan awam di negara ini disifatkan oleh pengusaha terlibat sebagai tindakan yang wajar kerana kadar sedia ada tidak dapat menampung kos operasi mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perkepli), Datuk Aslah Abdullah berkata, kadar kenaikan itu munasabah kerana ia mampu mengurangkan beban pengusaha perkhidmatan.

"Sebelum ini pemandu teksi mengenakan tambang sebanyak RM2 untuk dua kilometer pertama tetapi kadar baru mungkin sebanyak RM3.

"Walaupun kenaikan yang diberi masih belum mencapai 30 peratus seperti diminta oleh persatuan, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai kertas cadangan kenaikan tambang pengangkutan awam yang dijangka diumumkan oleh LPKP seperti dilaporkan akhbar hari ini.

Mohamed Nazri berkata, kadar baru itu hanya akan dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan Kebinet.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, kenaikan tersebut sememangnya amat dinanti-nantikan.

"Meskipun kenaikan ini akan memberi sedikit bebanan kepada penguna, mereka perlu bersikap positif.

"Situasi ini tidak akan berlaku sekiranya kerajaan dapat mengurangkan harga diesel sekurang-kurangnya RM1 seliter atau memberikan subsidi kepada pengusaha bas," ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih kabur dan belum ada pengesahan daripada kerajaan.

PKPM dipercayai aktif semula

PKPM dipercayai aktif semula

Oleh ZULKIFLI MANZOR
utusanpahang@yahoo.com.my

KUANTAN 25 Mei – Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang pernah dilumpuhkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira enam tahun lalu, dipercayai aktif semula di negara ini termasuk di Pahang sejak beberapa bulan lalu.

Pasukan itu dikatakan sedang merekrut ribuan ahlinya termasuk lebih 400 orang di Pahang untuk menyiasat satu kes pembunuhan membabitkan seorang kenamaan (VIP).

Sebahagian anggota lain akan diserap ke setiap jabatan kerajaan bagi melakukan tugas risikan.

Pasukan haram itu juga dipercayai menawarkan ganjaran sama seperti yang dilakukan pada tahun 2003 iaitu gaji, elaun, pangkat, kuasa serta senjata api kepada mana-mana individu yang menyertai pasukan berslogan ‘Bersatu Membanteras Dan Menentang Musuh Negara’ itu.

PPSMI: Keputusan enam bulan lagi

PPSMI: Keputusan enam bulan lagi

JOHOR BAHRU 25 Mei - Keputusan sama ada kerajaan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijangka diketahui dalam tempoh enam bulan lagi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan berkenaan akan dimuktamadkan segera bagi menyelesaikan polemik PPSMI selepas kajian pelbagai pihak diperhalusi.

''Tak perlu lama lagi hendak tengok, tak perlu enam tahun tetapi dalam tempoh tak lebih enam bulan ini kementerian akan boleh umumkan keputusannya sama ada untuk kekal (penggunaan bahasa Inggeris) atau kembali kepada bahasa ibunda,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru 2009 peringkat Johor di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin.

Baru-baru ini, Gagasan Veteran Malaysia melalui Presidennya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar PPSMI di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Ahmad Sarji mengemukakan hasil kajian dan pendapat pihaknya kepada Muhyiddin.

Mohd. Puad berkata, tempoh enam bulan adalah wajar kerana semua kajian mengenainya telah siap diteliti dan yang terbaru kementerian sedang melihat kajian Gagasan Veteran yang diserahkan itu.

Beliau berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan yang akan diumumkan nanti.

Menurutnya, Muhyiddin sebelum ini menolak hasil yang dikumpulkan oleh sesi meja bulat kerana ia mempunyai perbezaan amat ketara dengan hasil penyelidikan badan bebas.

Mohd. Puad berkata, selain itu, laporan meja bulat dianggap tidak lengkap apabila hanya mempunyai tiga opsyen untuk mengatasi masalah berkenaan dan tidak mengambil kira kajian tokoh bahasa.

''Opsyen sebelum ini antaranya memperkenalkan kaedah dwibahasa, meneruskan dasar tersebut di peringkat sekolah menengah dan menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah, tetapi tiada opsyen untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran kepada dasar asal,'' katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu mengulangi pendirian beliau secara peribadi mahu pengajaran Sains dan Matematik dijalankan dalam bahasa ibunda tetapi pada masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, tinjauan dan pemeriksaan mengejut di sekolah-sekolah rendah dan menengah terutama di luar bandar mendapati dasar PPSMI mempunyai kelemahan ketara untuk dilaksanakan.

''Hakikatnya ialah sekolah luar bandar masih kekurangan guru-guru PPSMI dan tenaga pengajar bahasa Inggeris, takkan guru agama pun kena ajar bahasa Inggeris, ini lebih menyedihkan jika dilihat di sekolah kawasan Orang Asli, pedalaman Sabah dan Sarawak.

''Guru-guru bahasa Inggeris banyak di bandar, ini menimbulkan masalah dari segi persediaan,'' katanya sambil menjelaskan hasil pertemuan dan perbincangan bersama para guru didapati bahasa ibunda tidak perlu dikorbankan dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Puad berkata, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pelbagai cabang ilmu termasuk ekonomi, teknologi dan tidak sekali-kali boleh menjadi mangsa dalam persaingan dengan bahasa Inggeris dalam arus globalisasi.

Menurutnya, ia amat penting kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai bahasa penyatuan kaum yang berkesan dalam membina negara bangsa.

Katanya, kerajaan menerusi kementerian amat komited dalam memelihara bahasa ibunda bersama-sama dengan hasrat warga pendidik termasuk guru-guru yang menjadi pejuang negara bangsa itu.

Belum cadang hapus tol LDP

Belum cadang hapus tol LDP

Oleh AMRAN AHMAD
pengarang@utusan.com.my

PETALING JAYA 25 Mei - Kerajaan belum bercadang menghapuskan bayaran tol di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Thomas George berkata, bagaimanapun kerajaan sedang menjalin kerjasama dengan syarikat korporat bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat khususnya pengguna harian LDP.

"Selain mengurangkan bayaran tol, kerjasama di antara kerajaan dan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) selaku firma pengendali LDP mampu mengurangkan kesesakan di kaunter bayaran terutama pada waktu pagi dan petang," katanya selepas melancarkan Program Pengguna Kerap LDP di sini hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor turut mengedarkan kad Touch 'n Go kepada pengguna lebuh raya berkenaan bersama-sama Pengerusi Litrak, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob.

LDP yang memulakan operasinya kira-kira 10 tahun lalu mempunyai perjanjian konsesi sehingga 2032 dan menerima sejumlah 1.4 juta kenderaan dalam masa sehari.

Daripada sejumlah 1.4 juta pengguna lebuh raya itu setiap hari, hanya sekitar 400,000 pengguna yang membayar tol antara 80 sen sehingga RM1.60 mengikut jenis kenderaan yang dipandu.

Thomas berkata, kerjasama seperti itu akan diperkukuhkan lagi sejajar dengan usaha kerajaan mengurangkan beban bayaran kos pengangkutan yang ditanggung rakyat terutama untuk berulang alik ke tempat kerja.

"Kita harus ingat bahawa semua servis yang disediakan melibatkan tanggungan kos yang harus dibayar, langkah ini adalah permulaan kepada lebih banyak kerjasama dalam mengurangkan beban rakyat," tambahnya.

Sementara itu, Wan Abdul Rahman berkata, program tersebut memberi manfaat kepada pengguna kerap LDP menerusi bonus isian tambahan kad Touch 'n Go dan mengelak daripada kesesakan di kaunter bayaran tol.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh syarikat itu bagi mengurangkan beban kewangan pelanggan di negara ini.

'Demonstrasi babit isu di Sri Lanka tak relevan'

'Demonstrasi babit isu di Sri Lanka tak relevan'

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

KDN digesa bertindak tegas elak perhimpunan haram

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram dan sebarang usaha campur tangan pihak tempatan dalam isu membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan Kerajaan Sri Lanka.

Presiden Gabungan Persatuan India Malaysia, P Mukuntha, berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai hak untuk membuat keputusan dan mencari penyelesaian terbaik krisis di negara berkenaan dan tindakan pihak tertentu mengadakan demonstrasi jalanan tidak relevan sama sekali.

"Apa yang berlaku di sana (Sri Lanka) adalah krisis dalaman negara itu. Jadi, PBB paling sesuai mencari jalan keluar krisis kemanusiaan di sana. Mereka mempunyai mekanisme yang diketahui berkemampuan untuk menilai apa yang berlaku di negara berkenaan.

"Tidak ada guna jika kita di sini mengadakan pelbagai siri demonstrasi jalanan sehingga menjadi acara mingguan sedangkan suara itu boleh disalurkan oleh pemimpin kita pada persidangan PBB. Ini semua hanya motif mahu cari publisiti dan nama," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kira 2,000 penduduk berkumpul di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves bagi membantah tindakan Sri Lanka membunuh masyarakat Tamil di negara itu dalam krisis bersenjata dengan LTTE.

Perhimpunan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan LTTE itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan; Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran.

Krisis berdarah menyebabkan lebih 100,000 penduduk terkorban sejak tiga dekad itu berakhir hujung minggu lalu selepas tentera kerajaan mendakwa berjaya membunuh pemimpin tertinggi LTTE, Vellupillai Prabakharan selepas pertempuran hebat di daerah Mullaittivu.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar, berkata KDN perlu bertegas bagi mengelak kumpulan tertentu yang kononnya mahu menjadi juara dalam memperjuangkan nasib golongan tertentu tidak sampai menggugat ketenteraman.

Katanya, perhimpunan yang semakin kerap diadakan sejak akhir-akhir ini dibimbangi banyak dipengaruhi anasir luar dan budaya politik jalanan seperti itu tidak boleh dibiarkan.

"Perhimpunan haram seperti ini akan mengganggu tumpuan kerajaan memakmurkan ekonomi kepada rakyat. Tidak kiralah apa tujuan perhimpunan itu diadakan, namun jelas sekali perkara seperti ini perlukan ketegasan pihak berkuasa.

"Jangan bagi muka sangat, risau ia akan jadi budaya rakyat negara ini, asal ada benda tidak puas hati turun ke jalan raya dan buat demonstrasi. Penganjur perhimpunan seperti ini sepatutnya ditahan di bawah Akta Hasutan sebagai pengajaran," katanya.

Usaha bawa Chin Peng pulang mesti dihalang

Usaha bawa Chin Peng pulang mesti dihalang


SEREMBAN: Kementerian Pertahanan menentang sebarang usaha membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, kembali ke negara ini kerana tindakan itu akan menghiris perasaan anggota pasukan keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu juga akan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika zaman darurat.

"Jika diberi pengiktirafan terhadapnya (membenarkannya kembali), rasa terhiris dan kelukaan itu pasti akan lebih dirasai. Ini bukan sentimen perkauman, tetapi rasa patriotisme yang tertanam dalam jiwa anggota tentera yang sudah bersara atau masih bertugas.

"Ada bekas anggota tentera yang bertanya kepada saya mengapa pengganas komunis yang sudah menyerah diri diberi tanah, tetapi mereka yang bersara kerana memperjuangkan kedaulatan negara tidak mendapat kemudahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembabitan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Kem Seri Perkasa, Mantin, dekat sini semalam.

Ahmad Zahid mengulas mengenai saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan, supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu kembali ke negara ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap jika ada parti politik yang mahu memperjuangkan Chin Peng supaya memahami hati dan jiwa anggota tentera, terutama mereka yang kehilangan saudara-mara akibat terkorban ketika menentang PKM.

Dosa bekas pemimpin PKM tak boleh dimaaf: Rais

Dosa bekas pemimpin PKM tak boleh dimaaf: Rais


KUALA LUMPUR: Tiada ruang buat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk kembali ke negara ini kerana dosa dilakukannya terhadap pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pemimpin yang melahirkan perasaan simpati terhadap Chin Peng perlu mengemukakan pendirian secara jelas tanpa berselindung di sebalik tabir politik kepartian.

“Chin Peng dan komunis yang membunuh rakyat negara ini dan tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat atau bersimpati kepadanya.

“Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Kita tidak boleh mendewakan komunis, ribuan yang sudah mati di tangan komunis. Usah mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan pemikiran rakyat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan kementeriannya di sini, semalam.

Dr Rais berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memantau dan mengawal perkembangan laman blog yang menyokong komunis serta cuba menanam semangat komunisme di kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, beliau akan mengemukakan kepada Kabinet mengenai kemunculan beberapa laman blog dilihat memberi pujian atau melahirkan nostalgia kepada komunis dan maklumat diperoleh mengenai perkara itu akan disalurkan kepada KDN.

“Mengenai kemunculan blog dilihat menyokong komunis, kami akan cari jalan untuk menanganinya, langkah tak perlu cakap, semuanya sudah diatur dan kesannya nanti saya percaya akan memberi pandangan yang membina supaya komunisme tidak menjadi kegilaan atau diminati mana-mana generasi.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan di bawah bidang tugas saya, tetapi saya sudah minta beliau siap siaga melihat kecenderungan ini,” katanya.

Mengulas mengenai gagasan 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sering disalah tafsir pihak tertentu terutama pembangkang, beliau akan menggerakkan semua agensi di bawah kementeriannya untuk memberi penerangan.

Permata realisasi '1Malaysia'

Permata realisasi '1Malaysia'


ROSMAH bergambar bersama kakitangan Bernama Radio24 ketika hadir sebagai tetamu dalam program Yo! di Wisma Bernama, semalam.

KUALA LUMPUR: Pusat Anak Permata Negara (Permata) akan merealisasikan konsep '1Malaysia' di kalangan kanak-kanak di negara ini melalui sukatan pelajarannya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sukatan pelajaran yang sedang diguna pakai oleh Pusat Permata sememangnya menerapkan proses pembelajaran yang tidak membezakan kaum, latar belakang mahupun agama.

"Usia antara satu hingga lima tahun adalah peringkat paling sesuai untuk membentuk kemahiran berfikir dan daya ketahanan diri pada anak-anak dengan pendedahan awal berkomunikasi dan bergaul secara semula jadi," katanya selepas ditemu bual oleh Radio 24 di sini, semalam.

Beliau berkata, di pusat asuhan Permata, kanak-kanak melalui persekitaran selesa dan menyeronokkan tanpa berasakan perbezaan antara kaum itu seperti bersama-sama menyanyi lagu Negaraku dan mempelajari Rukun Negara.

"Di pusat Permata, kita mahukan kanak-kanak melalui cara (proses) berinteraksi yang baik tanpa perlu dipaksa atau mengkehendaki mengadakan suatu program khas untuk membentuk semangat perpaduan di kalangan mereka," katanya.

Rosmah yang juga Penaung dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara berkata, melalui laporan yang diterima terhadap perkembangan pusat itu, kanak-kanak yang diasuh di pusat Permata melalui proses pergaulan sihat di mana mereka sudah pandai berbahasa dalam dialek kaum lain.

Permata adalah projek perintis yang beroperasi sejak 1 Mac 2007, yang memberikan perkhidmatan asuhan dan didikan awal untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Asuhan di Permata berbeza dengan taman asuhan kanak-kanak (Taska) kerana ibu bapa perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam seminggu untuk bersama anak mereka di pusat itu selain melawat pada waktu makan tengah hari untuk mewujudkan hubungan lebih erat antara ibu bapa dan anak.

Rosmah mengharapkan kementerian akan membentuk satu jabatan khas bagi menyelia silibus yang diguna pakai pusat Permata ke peringkat yang lebih meluas kepada semua tadika dan pusat asuhan kanak-kanak yang lain.

Beliau berkata, menjelang hujung tahun ini, lebih 300 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas akan dikenali sebagai Permata dan menjelang tahun depan semua tabika Kemas akan mengikuti sukatan pelajaran yang diguna pakai Permata. – Bernama.

Tengku Faris Petra Pemangku Raja

Tengku Faris Petra Pemangku Raja

Oleh Wan Masarah W Embong
bhkb@bharian.com.my




Pelantikan sehingga Sultan Kelantan sembuh

KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja sehingga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang kini gering sembuh.

Pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra itu diputuskan oleh Majlis Perajaan Negeri mengikut Perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (bahagian kedua).

Perisytiharan pelantikan itu dibacakan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, selepas Majlis Perajaan Negeri bermesyuarat di pejabatnya, jam 3 petang kelmarin.

Mohd Aiseri berkata, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra berkuat kuasa kelmarin sehinggalah Tuanku Ismail Petra sembuh.

"Hendaklah ada satu Pangkuan Raja di dalam negeri apabila Al-Sultan gering dan tidak boleh menjalankan hal ehwal negeri. Majlis Perajaan Negeri hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau satu Majlis Pangkuan Raja," kata Perisytiharan Kerajaan Kelantan itu yang diedarkan kepada media di sini, semalam.

Tengku Muhammad Faris Petra adalah putera sulung daripada empat beradik kepada Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 14 Mei lalu selepas baginda mengadu masalah pernafasan.

Pemeriksaan pakar perubatan mendapati baginda mengalami sakit jantung sebelum dirawat oleh sepasukan pakar dari HUSM, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura

Peguam saman Badan Peguam

Peguam saman Badan Peguam

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Mei - Sebuah buku mengenai kes pembunuhan majikan oleh seorang amah warga Indonesia yang ditulis oleh seorang peguam dikatakan mendapat sambutan hangat ketika diterbitkan tahun lalu.

Malahan, Badan Peguam Malaysia yang dibenarkan menjual buku tersebut telah dibayar hampir 50 peratus daripada hasil jualannya di premis tersebut.

Bagaimanapun pada awal April lalu, peguam tersebut, K. Vijayandran terkejut apabila diberitahu bahawa Majlis Peguam sedang meneliti bukunya itu yang bertajuk No intention to kill (Tiada Niat Untuk Membunuh).

Ia bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan peguam berkenaan melanggar Peraturan-Peraturan Profesion Guaman (Publisiti) 2001 dan Peraturan-Peraturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978, selain Peraturan-Peraturan dan Perintah Majlis Peguam 2008.

Namun begitu, perkara tersebut hanya diketahui oleh beliau selepas permohonannya untuk menggunakan dewan Majlis Peguam bagi majlis pelancaran buku keduanya bertajuk Presumed Guilty (Dianggap Bersalah) ditolak.

Kesal dengan penolakan tersebut, Vijayandran hari ini memfailkan saman terhadap Badan Peguam Malaysia bagi menuntut ganti rugi yang dianggarkan berjumlah RM160 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Vijayandran yang telah dua dekad menceburi bidang guaman selaku plaintif menamakan Badan Peguam Malaysia yang bertindak melalui Majlis Peguam sebagai defendan.

Dalam saman tersebut, beliau menuntut perisytiharan bahawa tindakan menghalangnya menggunakan dewan defendan sama ada secara lisan pada 1 April atau bertulis pada keesokan harinya melalui Majlis Peguam adalah melanggar hak beliau di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menuntut perisytiharan bahawa keputusan defendan melalui surat bertarikh 6 April, 13 April dan 15 Mei lalu yang menolak permohonannya menggunakan premis Majlis Peguam adalah tidak munasabah, batal dan tidak sah.

Turut dituntut ialah perintah untuk memaksa defendan membenarkan beliau menggunakan premis Majlis Peguam pada tarikh yang dipilih sendiri oleh peguam itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Vijayandran mendakwa, beliau telah menulis dan menerbitkan buku No Intention to kill berdasarkan kisah anak guamnya, iaitu seorang amah warga Indonesia yang dituduh membunuh majikannya tetapi akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dakwanya, selain dijual di gedung-gedung buku terkemuka, beliau turut diundang untuk menceritakan pengalamannya dalam kes itu kepada ahli-ahli Majlis Peguam pada 11 September tahun lalu.

Bagaimanapun, dakwanya, masalah timbul apabila permohonan untuk melancarkan buku keduanya mengenai ibu muda yang didakwa mengedar dadah bertajuk Presumed Guilty di premis defendan ditolak tanpa sebarang alasan.

Dakwanya lagi, selepas didesak, Setiausaha Majlis Peguam melalui surat bertarikh 13 April lalu menyatakan bahawa permohonannya itu ditolak kerana Jawatankuasa Profesion Guaman telah diarahkan menyiasat sama ada terdapat pelanggaran peraturan-peraturan Majlis Peguam berhubung penerbitan buku pertamanya.

Dengan itu, plaintif mendakwa, defendan telah menyebabkan diskriminasi terhadap beliau sebagai ahli Badan Peguam Malaysia dan melanggar hak asasinya yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.