|
|
KUALA TERENGGANU 16 Mei - Kerajaan komited untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bahasa Melayu perlu menjadi teras kepada negara dan bangsa yang ingin dibina perlu diperkasakan sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan setiap rumpun masyarakat.
Penguasaan bahasa Inggeris pula menurutnya, perlu ditingkatkan di kalangan pelajar untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam menghadapi persaingan globalisasi yang semakin mencabar.
"Kita harus ingat bahawa bahasa adalah jiwa bangsa. Luntur bahasa maka lunturlah jiwa bangsa," ujarnya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Jelasnya, guru menggalas amanah penting untuk menyemai dan mengukuhkan sanjungan terhadap bahasa.
Katanya, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan latihan perguruan berfokus kepada bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu.
Menurutnya, latihan perguruan berfokus kepada bahasa Inggeris pula akan dijalankan di IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur; IPGM Kampus Gaya, Kota Kinabalu; IPGM Kampus Datuk Razali Ismail di sini; dan IPGM Kampus Batu Lintang, Kuching.
"Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) juga diwujudkan untuk meningkatkan profesionalisme guru termasuk memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris," ujarnya.
Beliau berkata, kursus dalam perkhidmatan untuk bahasa Inggeris dikukuhkan lagi di English Language Teaching Centre (ELTC) yang akan menjadi nadi kepada latihan dalam perkhidmatan bagi guru-guru bahasa Inggeris.
No comments:
Post a Comment