Sunday, May 17, 2009

Kes kedua H1N1 disahkan

Satu lagi kes
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my

KANAK-KANAK perempuan ditemani bapanya datang secara sukarela ke Hospital Sungai Buloh semalam untuk membuat ujian pengesahan Influenza A selepas menghidap demam sebaik pulang dari London.

Rakan mangsa pertama sah dijangkiti virus Influenza A

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan kes kedua Influenza A (H1N1) semalam selepas seorang pelajar perempuan yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Pelajar berusia awal 20-an itu adalah rakan kepada pelajar lelaki berusia 21 tahun yang disahkan mangsa pertama virus itu, dan kedua-duanya menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 yang sama dari AS.

Dengan pertambahan satu lagi kes itu, serta Turki dan India memasuki senarai negara disahkan dijangkiti semalam, diikuti Jepun dengan tiga kes jangkitan, menjadikan jumlah jangkitan kes selesema berkenaan meningkat kepada 8,451 kes di 39 negara, membabitkan 72 kematian.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Ramlee Rahmat, berkata ketika ini, mangsa kedua dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Kita juga mengambil tindakan mengkuarantin ahli keluarganya di rumah dan mereka dilaporkan sihat.

JURURAWAT Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengadakan pemeriksaan saringan virus Influenza A kepada orang ramai yang datang untuk menerima rawatan di hospital itu, semalam. - Bernama

"Mangsa pertama dan kedua pulang ke tanah air (Rabu lalu) bersama dua lagi rakan, namun pemeriksaan mendapati kedua-dua rakan mereka dalam keadaan sihat," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan Malaysia mencatatkan kes pertama H1N1 selepas seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang baru pulang dari AS disahkan dijangkiti virus itu.

Dr Ramlee berkata, hasil pemeriksaan mengesahkan hanya 192 penumpang, termasuk 15 anak kapal MAS menaiki pesawat MH091 dari Newark, AS yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi, Rabu lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 119 penumpang dilaporkan masih berada dalam negara iaitu 81 warga tempatan, manakala 38 lagi penumpang luar negara.

Katanya, baki 73 orang penumpang pesawat berkenaan meneruskan penerbangan ke destinasi lain pada hari sama.

"Kita sudah memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya mengambil tindakan sewajarnya di negara yang dikunjungi semua penumpang terbabit," katanya.

Mengenai maklum balas penumpang pesawat berkenaan, beliau berkata, setakat ini 35 penumpang pesawat itu sudah menghubungi kementerian dan maklumat berkenaan sudah diedarkan kepada Jabatan Kesihatan negeri terbabit bagi memastikan mereka dikuarantin di rumah masing-masing selama tujuh hari.

Pada masa sama, Dr Ramlee berkata, semua Pejabat Kesihatan negeri sudah diarah bersiap sedia termasuk menjalankan pemeriksaan dua kali sehari terhadap semua penumpang itu.

"Kita turut mengkuarantin tiga penumpang lain yang sepatutnya meneruskan perjalanan ke destinasi lain, tetapi masih menginap di hotel. Oleh kerana mereka tidak menetap di sini (Malaysia), mereka dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sehingga Rabu depan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada tiga penumpang terbabit adalah warga tempatan atau pelancong asing.

Dr Ramlee berkata, penumpang yang ingkar memberikan kerjasama selepas dikesan dan dihubungi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Setakat ini, seramai 88,544 orang sudah melalui proses pemeriksaan menggunakan 20 mesin pengimbas pada semua pintu masuk ke negara ini di seluruh negara.

"Oleh itu, kami mengarahkan semua yang terbabit dalam kes ini supaya tampil memberikan kerjasama bagi mengelak penularan wabak," katanya.

Dr Ramlee berkata, sehingga tengah malam kelmarin, sembilan orang yang mempunyai simptom virus itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, masing-masing dua Hospital Tuanku Fauziah, Perlis, Hospital Melaka dan Hospital Pulau Pinang, manakala satu di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

"Daripada 16 kes ini, hanya satu kes di Pulau Pinang disahkan positif H1N1, manakala 12 lagi disahkan negatif. Kita masih menunggu keputusan yang lain," katanya.





Kes kedua H1N1 disahkan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 16 Mei - Kes kedua selesema babi atau influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Kes kedua itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pagi ini dan mangsa berada di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil, manakala keluarga mangsa dikuarantin di rumah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, pelajar perempuan itu menaiki pesawat yang sama dengan mangsa pertama dan merupakan sekumpulan empat orang pelajar dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan, dua lagi pelajar kumpulan yang sama itu berada dalam keadaan sihat.

''Semasa saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelajar perempuan itu tidak mengalami demam.

''Dia hanya dikesan setelah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang semalam dan disahkan positif inflenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pagi ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, pelajar lelaki berumur 21 tahun berasal dari Lembah Klang menjadi mangsa pertama menghidap virus tersebut.

Bagaimanapun, Ramlee berkata, keadaan mangsa pertama itu kini dilaporkan tiada demam lagi dan berada dalam keadaan stabil di wad pengasingan Sungai Buloh manakala lima ahli keluarganya termasuk kakitangan klinik swasta yang pernah memberikan rawatan kepada mangsa itu sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Ramlee berkata, kesemua penumpang lain yang berada dalam penerbangan dengan dua pelajar terbabit telah dikenal pasti membabitkan seramai 192 penumpang dan 15 anak kapal.

''Penerbangan ini adalah destinasi terakhir dan bukan penerbangan kongsi kod dengan mana-mana syarikat.

''Daripada 192 penumpang, 119 masih berada di negara ini iaitu 81 penumpang merupakan warganegara manakala 38 lagi bukan warganegara.

''Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan ke luar negara pada hari yang sama, dan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dimaklumkan untuk tindakan oleh negara masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Ramlee berkata, sehingga pagi ini, hanya 35 daripada 119 penumpang yang berada di negara ini telah membuat membuat panggilan.

''Kementerian Kesihatan menyeru kepada semua penumpang serta kakitangan penerbangan MH 091 terbabit untuk memberikan kerjasama dan sesiapa yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

''Jabatan Kesihatan Negeri telah dimaklumkan senarai nama penumpang tersebut dan pegawai kesihatan akan melakukan pemeriksaan dua kali sehari di rumah mereka yang akan dikuarantin selama tujuh hari," katanya.

Menurut Ramlee, tiga penumpang lagi yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke tempat lain semalam terpaksa diletakkan di bawah pemerhatian dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sehingga 20 Mei ini kerana mereka tidak ada tempat tinggal.

Sementara itu, Ramlee berkata, 16 lagi pemberitahuan kes virus tersebut diterima sehingga 12 tengah malam semalam iaitu sembilan kes di Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Melaka dan Pulau Pinang manakala satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

''Sehingga kini 12 daripada 15 sampel didapati negatif manakala selebihnya masih belum diketahui keputusannya.

''Semalam, seramai 7,528 penumpang yang tiba di negara ini telah disaring di semua pintu masuk negara melalui 20 mesin pengimbas suhu menjadikan seramai 88,544 penumpang telah disaring sejak hari pertama virus ini dikesan," katanya.

Malaysia menjadi negara ke-35 dikesan virus influenza A(H1N1) dan kes tersebut kini telah meningkat sehingga 7,949 kes membabitkan kematian seramai 66 orang.

No comments:

Post a Comment