Sunday, May 17, 2009

Ahli Majlis Peguam perlu patuh undang-undang

Ahli Majlis Peguam perlu patuh undang-undang
Oleh Azrina Ahzan
bminggu@bharian.com.my

Ketua Polis Negara syor badan wujud peraturan khas

SEPANG: Majlis Peguam diminta menggubal satu peraturan khas yang perlu dipatuhi semua ahlinya selain memastikan mereka tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata peraturan itu dapat membendung rasa kurang selesa di kalangan orang ramai memandangkan sejak kebelakangan ini, ramai peguam yang sering bertindak melanggar undang-undang negara.

"Kalau peguam hendak menjadi kumpulan pendesak, mereka boleh menjadi ahli mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan bukannya menggunakan kedudukan mereka untuk melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara.

"Lagipun, mereka perlu sedar, status sebagai peguam tidak bermakna mereka boleh melanggar undang-undang, sebaliknya mereka sepatutnya memelihara undang-undang.

"Tindakan segelintir peguam terbabit juga boleh mendorong orang ramai untuk melakukan perkara yang sama hingga boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam, selepas menghadiri Mesyuarat Polis-Polis Asean ke-29 (Aseanapol) di Hanoi, Vietnam.

Musa diminta mengulas desakan Majlis Peguam yang mahu Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri supaya meletakkan jawatan berikutan penahanan lima peguam pada 7 Mei lalu.

Semua lima peguam terbabit ditahan kerana didakwa menyertai perhimpunan haram ketika dalam usaha memberikan bantuan guaman kepada seorang aktivis yang ditahan mengikut Akta Hasutan.

Mengulas lanjut, Musa berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihak polis mengawal keselamatan dan memastikan rakyat di negara dapat hidup dalam suasana aman.

"Polis akan berusaha memastikan keadaan huru-hara di Thailand tidak berlaku di Malaysia," tegasnya.

Mengenai keengganan Penasihat Undang-Undang pertubuhan haram Hindraf, P Uthayakumar, melaporkan diri di Kem Tahanan Kamunting pada 19 Mei seperti yang diarahkan pihak berkuasa, katanya, beliau tidak dimaklumkan lagi mengenai perkara itu.

"Saya tidak dimaklumkan lagi mengenai perkara itu. Lagipun saya baru balik dari Hanoi. Saya perlu periksa dulu sebelum membuat sebarang pengumuman," katanya.

Sebuah laman web kelmarin melaporkan kerajaan mengkaji perintah pembebasan P Uthayakumar daripada Akta Keselamatan Negara pada 13 Mei lalu, berikutan arahan daripada Lembaga Penasihat Kem Tahanan Kamunting yang mengarahkan beliau melaporkan diri di kem itu pada 19 Mei ini.

Bagaimanapun, difahamkan beliau enggan mematuhi arahan itu.

P Uthayakumar dibebaskan daripada tahanan ISA bersama dua lagi pemimpin Hindraf iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, Selangor, M Manoharan dan Setiausaha Hindraf, K Vasantha Kumar.


Inilah hipokrasi polis. Bila diaorg langgar undang2 senyap jer. Apa cerita polis masuk dewan undangan negeri PERAK?

No comments:

Post a Comment