Monday, May 25, 2009

Wartawan, penulis Melayu perlu satu pertubuhan besar

Wartawan, penulis Melayu perlu satu pertubuhan besar

KUALA LUMPUR 24 Mei - Golongan wartawan dan penulis Melayu perlu bernaung di bawah satu pertubuhan yang besar dan menyeluruh untuk bersatu mempertahankan wadah perjuangan kaum sendiri.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM), Dr. Alias Mohamed berkata, dengan adanya pertubuhan seperti itu, wartawan dan penulis Melayu dapat berkumpul dan bergiat sebagai satu kumpulan.

"Pada masa yang sama, pertubuhan tersebut wajar direalisasikan untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada wartawan dan penulis Melayu," katanya pada majlis makan malam penubuhan PKWPM di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan yang juga Setiausaha I Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP), Tan Sri Abdullah Ahmad, veteran Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani dan bekas Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia, Azah Aziz.

PKWPM yang ditubuhkan pada 12 Mei 2008 bertujuan untuk menghimpun dan menyatukan wartawan, penulis dan penulis blog, jurufoto dan wartawan sambilan Melayu di bawah satu wadah perjuangan yang sama.

Mengulas lanjut, Dr. Alias berkata, pertubuhan besar memayungi wartawan Indonesia yang mempunyai sekitar 18,000 ahli di bawah Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) selain beberapa pertubuhan gergasi lain di Singapura dan Brunei.

No comments:

Post a Comment