Monday, May 25, 2009

'Usah salah guna konsep 1Malaysia desak kerajaan'

'Usah salah guna konsep 1Malaysia desak kerajaan'

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


NAJIB bersama isteri, Rosmah dan Koh selepas merasmikan majlis sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall, Puchong, semalam.

PM harap gagasan diperkenal mantapkan perpaduan rakyat

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menyalahgunakan konsep 1Malaysia untuk mendesak kerajaan memenuhi pelbagai tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah.

Sebaliknya, Perdana Menteri berharap gagasan yang diperkenalkannya itu dapat menjurus kepada perpaduan yang lebih kental dan mampu membawa penghayatannya ke tahap lebih tinggi.

"Diharap 1Malaysia tidak disalahgunakan sesiapa, tetapi pengertian dan penghayatannya mestilah berdasarkan tiga teras utama iaitu penerimaan secara menyeluruh, prinsip kenegaraan dan keadilan sosial yang bertujuan mengukuhkan hubungan sesama rakyat," katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall Puchong dekat sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Perdana Menteri menjawab soalan mengenai tindakan sesetengah pihak yang menggunakan 1Malaysia untuk mengemukakan tuntutan bagi memenuhi keperluan badan, pertubuhan atau parti politik tertentu.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 kepada tujuh penerima membabitkan lima kategori iaitu penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam bagi kategori Seni, Akhbar Sinar Harian (Media), Kelab Sukan Sports Unite (Sukan) dan Zubedy M Sdn Bhd (Korporat).

Tiga penerima kategori komuniti ialah Dr Harun Pudin, 55, dari Labuan; S Mathavan, 47, dari Selangor dan Toh Eng Leong, 47, dari Pulau Pinang.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai teras 1Malaysia, Perdana Menteri berkata, apabila ia menjadi amalan, bermakna setiap rakyat menerima masyarakat majmuk sebagai kekuatan atau aset negara, manakala inti pati Perlembagaan pula membantu usaha menyusun langkah serta dasar bagi menjelaskan kedudukan dan hala tuju.

Selain itu, katanya, teras ketiga iaitu keadilan sosial pula menumpukan aspek pertolongan sesama rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan atau di mana asal mereka, sama ada di bandar atau luar bandar.

Najib berkata, penghayatan mendalam soal perpaduan nasional oleh semua pihak akan membawa negara ke tahap lebih hebat.

"Mulai sekarang, cuba renungkan bagaimana perpaduan masyarakat berbilang bangsa dapat menjadi kekuatan negara ini kerana dengan mendokong gagasan 1Malaysia, kita membentuk satu impian, satu wawasan dan satu negara dinamik kerana perpaduan tonggak ke arah proses transformasi negara," katanya.


Jangan tuntut bukan-bukan

Oleh ARSHAD KHAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegur beberapa pihak di dalam dan luar kerajaan kerana cuba mengambil kesempatan daripada gagasan ‘1Malaysia’ dengan membuat tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah.

Perdana Menteri berkata, Satu Malaysia diwujudkan untuk meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional, bukannya platform bagi mana-mana pihak melontar tuntutan yang bukan-bukan.

“Saya berharap gagasan Satu Malaysia ini merupakan satu konsep yang boleh menjurus kepada perpaduan lebih kental lagi kerana konsep ini bawa penghayatan perpaduan kepada tahap lebih tinggi lagi, seperti mana yang saya sebutkan tadi daripada konsep toleransi kepada konsep penerimaan.

“Itu merupakan satu peningkatan ke arah penghayatan yang lebih mendalam mengenai soal perpaduan nasional dan bukanlah konsep Satu Malaysia ini disalah gunakan oleh sesiapa untuk membuat atau mendesak tuntutan yang keterlaluan atau tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di Puchong dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama Satu Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu saja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.

Sebelum ini, ada ahli Kabinet meminta kaedah pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dibuat secara meritokrasi kerana ia mencerminkan gagasan Satu Malaysia.

Pemimpin pertubuhan haram Hindraf pula meminta kerajaan memberi status bumiputera kepada penduduk kaum lain yang lahir selepas merdeka.

Permintaan itu dibuat atas dasar kononnya ia bagi menyatukan seluruh penduduk negara ini dan memberi makna sebenar Satu Malaysia.

Perdana Menteri menambah, adalah menjadi harapan beliau agar gagasan Satu Malaysia dihayati dengan sebaik mungkin agar objektifnya itu dapat difahami dan dicapai.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, gagasan Satu Malaysia disandarkan kepada tiga teras dalam memperkukuh perpaduan nasional iaitu konsep penerimaan, prinsip kenegaraan dan konsep keadilan sosial.

Jelas beliau, penerimaan bererti walaupun rakyat pelbagai kaum secara hakikatnya masih belum serasi sepenuhnya antara satu sama lain tetapi mereka mengamalkan toleransi dan menerima yang lain sebagai rakan yang setia.

“Kita perlu berganjak daripada konsep toleransi ke konsep penerimaan, apabila kita menerima masyarakat majmuk di negara ini sebagai satu kekuatan kita dan menerima kaum lain sebagai rakan setia kita,” katanya.

Katanya, dalam kenegaraan, antara yang penting ialah rakyat perlu mengetahui peranan pengasas negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan.

Tambah beliau, semangat Rukun Negara juga perlu dihayati bagi membolehkan satu nilai budaya untuk seluruh Malaysia dapat diwujudkan di bawah prinsip kenegaraan.

“Apabila kita tahu sejarah negara, maka kita juga tahu di mana kita berada dan apakah hala tuju negara pada masa depan,” katanya.

Mengenai keadilan sosial, jelasnya, ia menerangkan bahawa setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting.

Katanya, rakyat perlu bersama menjayakan gagasan Satu Malaysia demi perpaduan negara berdasarkan konsep penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial itu.

Pada majlis berkenaan, Najib menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 kepada beberapa pihak.

Kelab Sukan Sports Unite menerima anugerah bagi Kategori Sukan, sementara penyanyi utama kumpulan Alleycats David Arumugam atau nama sebenarnya Datuk Thiagarajan Arumugam menerima anugerah bagi Kategori Seni.

Kategori Media pula dimenangi oleh akhbar Sinar Harian dan Kategori Korporat dimenangi oleh Zubedy Sdn. Bhd.




SEMANGAT SATU MALAYSIA


Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan penari-penari cilik melaungkan slogan 1Malaysia selepas majlis perasmian sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat kebangsaan di IOI Mall Puchong, semalam.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan semalam yang bertemakan konsep 1Malaysia.

Sambutan Minggu Perpaduan itu bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang pentingnya perpaduan dan integrasi nasional dipelihara dan dikekalkan supaya negara kekal harmoni, sejahtera dan stabil.

Ia juga bertujuan membangkitkan kesedaran rakyat supaya menjadikan elemen perpaduan sebagai teras dalam setiap tindakan dan interaksi di samping rasa hormat-menghormati, bekerjasama, muafakat serta toleransi.

No comments:

Post a Comment