Monday, May 25, 2009

Jambatan ketiga tingkat ekonomi, pelancongan

Jambatan ketiga tingkat ekonomi, pelancongan

JOHOR BAHRU 24 Mei - Cadangan untuk membina jambatan ketiga yang menghubungkan Malaysia-Singapura di timur Johor boleh membantu meningkatkan sosioekonomi dan sektor pelancongan negara khususnya di Johor.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia dapat dibuktikan menerusi sejarah apabila hubungan dan pertalian kekeluargaan antara rakyat kedua-dua negara adalah menerusi perhubungan laut.

Beliau berkata, hingga kini rakyat kedua-dua negara saling bertukar-tukar urusan menerusi jeti Belungkor di Pengerang dan Changi di Singapura dengan menggunakan feri dan bot berkuasa tinggi.

"Oleh itu cadangan membina jambatan ketiga yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong baru-baru ini merupakan satu cadangan yang baik demi faedah kedua-dua negara.

"Menjadi harapan seluruh warga Pengerang agar cadangan itu menjadi kenyataan kerana ia turut menjana pembangunan yang rancak bukan sahaja di Pengerang, malah melimpah ke kawasan persekitarannya termasuk ke Mersing dan Pulau Tioman, Pahang," katanya kepada Utusan Malaysia.

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang mengulas kenyataan Perdana Menteri di Singapura baru-baru ini bahawa kedua-dua negara menimbang untuk membina jambatan ketiga di kawasan timur Johor bagi menampung keperluan sedia ada iaitu Tambak Johor dan Linkedua.

Beliau percaya kos pembinaan jambatan ketiga yang dicadang menghubungkan Belungkor ke Changi itu lebih rendah jika dibandingkan dengan jambatan baru dari Tanjung Puteri ke Woodlands bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia 83 tahun itu.

Katanya, dengan adanya jambatan berkenaan ia akan mempercepatkan pertumbuhan Pengerang bukan sahaja dalam sektor ekonomi, malah pelancongan kerana ramai warga Singapura menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

"Kalau kita amati pada setiap hujung minggu Sungai Rengit, Desaru, Batu Layar, Teluk Ramunia dan Tanjung Balau dipenuhi pelancong dari Singapura.

"Malah mereka merasakan laluan menerusi Pengerang khususnya Belungkor merupakan laluan yang paling mudah berbanding merentasi Johor Bahru yang begitu padat dan sesak," katanya.

No comments:

Post a Comment