Thursday, May 21, 2009

RM30.3 juta kos naik taraf Hentian Puduraya

RM30.3 juta kos naik taraf Hentian Puduraya


KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Hentian Puduraya dengan kos RM30.3 juta adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang menjadikan stesen yang beroperasi sejak 1976 itu sebagai hab bas antara bandar.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, berkata UDA Holdings Berhad (UDA) yang mengendalikan hentian itu akan mengeluarkan peruntukan RM5.3 juta, manakala bakinya dibiayai kerajaan.

"Peruntukan UDA akan digunakan untuk usaha baik pulih jangka pendek yang dijangka siap enam bulan lagi.

"Ini termasuk mengecat bangunan, menambah baik sistem cegah kebakaran, siar kaki dan ruang menunggu berhawa dingin serta sistem pendingin hawa selain memperbaiki kaunter tiket dan memindahkan medan selera ke tingkat empat," katanya kepada Berita Harian semalam.

Ahmad Husni berkata, dalam fasa kedua, RM10.3 juta diperuntukkan bagi menaik taraf lif, menukar kipas ekzos di ruang bawah tempat bas berhenti dan pembinaan kaunter tiket baru yang dijangka mengambil masa enam bulan.

Fasa ketiga pula membabitkan projek naik taraf ruang menunggu di tingkat bawah, pemasangan eskalator dan penambahan lif penumpang serta kargo menggunakan peruntukan RM14.7 juta daripada Kementerian Kewangan.

Semua kerja dijangka siap sepenuhnya awal 2011 dan berfungsi sebagai hab bas antara bandar, manakala Hentian Bandar Tasik Selatan sebagai hab bas ekspres ke seluruh negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, pula berkata DBKL sudah mengenal pasti sebidang tanah milik kerajaan berhampiran Hentian Puduraya untuk dijadikan hentian bas sementara bagi mengurangkan kesesakan.

"Kebanyakan bas buatan sekarang lebih canggih dan besar. Malah, banyak bas dua tingkat digunakan sebagai bas ekspres tetapi tidak dapat memasuki kompleks Hentian Puduraya yang dibina bagi kegunaan bas berukuran biasa.

"Saya difahamkan spesifikasi pembinaan Hentian Bandar Tasik Selatan akan mengambil kira keperluan bas dua tingkat.

"Cadangan supaya jalan raya sekitar Puduraya dijadikan laluan sehala dan dihadkan kepada kenderaan pengangkutan awam tidak praktikal kerana menyusahkan pengguna lain," katanya.

No comments:

Post a Comment