Thursday, May 21, 2009

Modul latihan bekerja dari rumah diperkenal

Modul latihan bekerja dari rumah diperkenal
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my

Peluang kepada pekerja 45 tahun ke atas yang diberhenti

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan modul latihan baru bagi menggalakkan pekerja tempatan berusia 45 tahun ke atas yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi global bekerja dari rumah.

Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata bagi melaksanakan modul yang akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat, kementerian mengadakan perbincangan dengan majikan yang dikenal pasti berhampiran tempat tinggal golongan terbabit.

"Kementerian mendapat tahu pekerja tempatan yang berusia 45 tahun ke atas sukar mendapat pekerjaan apabila mereka diberhentikan kerja akibat kelembapan ekonomi.

"Kita bukan saja akan mengadakan pertemuan bersama majikan berhampiran kediaman mereka, malah akan turut berbincang dengan 80 penyedia latihan dalam pelbagai bidang termasuk hospitaliti, tekstil, pembuatan, pengurusan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pertanian bagi menjayakan modul berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di kementeriannya di sini, semalam.

Subramaniam berkata lebih 14,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui program latihan yang disediakan oleh 80 penyedia latihan terbabit menerusi pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan.

"Menerusi program latihan ini, lebih 2,087 mendapat pekerjaan dan masih ada lagi 12,000 kekosongan kerja. Kita amat berharap mereka yang diberhentikan kerja dan mencari pekerjaan dapat merebut peluang ini dengan mendaftar diri bersama kementerian bagi mengikuti latihan seterusnya mendapat pekerjaan.

"Kementerian akan menanggung kos latihan selain memberi elaun di antara RM500 hingga RM800 kepada mereka dalam tempoh menjalani latihan ini," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata sehingga kelmarin, kementerian melalui 80 bilik gerakannya seluruh negara mengenal pasti 31,810 kekosongan kerja dalam pelbagai bidang untuk dipenuhi oleh pekerja tempatan yang diberhentikan.

"Daripada jumlah ini, hanya 9,108 pekerjaan diisi manakala lebih 20,000 kekosongan jawatan masih belum dipenuhi lagi. Angka terbaru pekerja tempatan yang diberhentikan sehingga kini akibat kelembapan ekonomi dunia ialah seramai 17,000.

"Ini bermakna mereka masih berpeluang mendapat pekerjaan dan peluang pekerjaan ini hanya ditawarkan kepada pekerja tempatan dan bukannya tenaga buruh asing," katanya.

No comments:

Post a Comment