Showing posts with label LTTE. Show all posts
Showing posts with label LTTE. Show all posts

Sunday, May 24, 2009

Usah sokong resolusi

Usah sokong resolusi

KUALA LUMPUR 23 Mei - Malaysia tidak sepatutnya menyokong resolusi yang dibentangkan Sri Lanka pada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), agar anggotanya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu, kata Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Sambil meminta Malaysia menarik balik sokongan terhadap resolusi itu, Samy Vellu yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta agar Malaysia tidak menyokong sebarang resolusi berkaitan perkara itu.

"Orang Tamil merangkumi 1.4 juta daripada 1.8 juta jumlah anggota masyarakat India di negara ini. Oleh itu, perasaan mereka perlu dihormati. Tribunal Perang perlu ditubuhkan di Sri Lanka untuk membicarakan mereka yang menganjurkan kekejaman terhadap masyarakat Tamil di sana dalam peperangan menentang Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka telah melakukan penghapusan bangsa dan oleh itu wajar dihukum.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa Malaysia telah mempamerkan sokongannya terhadap resolusi yang dibentangkan Sri Lanka di PBB agar pihak luar tidak mencampuri urusan dalamannya. - BERNAMA

Thursday, May 21, 2009

Penyokong LTTE berhimpun bantah sokongan China

Penyokong LTTE berhimpun bantah sokongan China

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kira-kira 100 penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berhimpun di hadapan bangunan OSK Investment di sini, bagi membantah tindakan kerajaan China yang didakwa membantu Sri Lanka dalam serangan ke atas kumpulan itu.

Kesemua mereka yang berhimpun selama sejam bermula pukul 12.30 tengah hari di bangunan itu turut membawa poster, sepanduk dan banting dengan mesej 'Hentikan senjata kepada kerajaan Sri Lanka' selain patung Presiden China.

Koordinator kumpulan itu, S. Pasupathi berkata, perhimpunan itu bertujuan menunjukkan rasa tidak puas hati mereka berhubung peperangan yang berlaku di antara tentera Sri Lanka dan LTTE.

Beliau mendakwa China telah membantu menyalurkan bantuan kewangan dan kelengkapan peperangan kepada kerajaan Sri Lanka.

''China merupakan negara terbesar membekalkan peralatan perang kepada kerajaan Sri Lanka. Peralatan ini digunakan untuk membunuh rakyat tidak berdosa,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, perhimpunan itu melanggar undang-undang dan diadakan tanpa permit.

Jelasnya, bagaimanapun tiada individu ditahan dan kumpulan penyokong LTTE bersurai secara aman apabila diarahkan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, pihaknya terpaksa menutup jalan di persimpangan Tun Razak hingga ke Jalan Ampang Hilir.

Beliau memberitahu, penutupan jalan tersebut dilakukan kira-kira empat jam bagi memastikan keselamatan orang awam, premis-premis dan kawasan kedutaan.

Kalau prihatin sangat dengan nasib LTTE, apa kata hantar jer diaorg ni ke Sri Lanka