Showing posts with label H1N1. Show all posts
Showing posts with label H1N1. Show all posts

Tuesday, May 19, 2009

Turun padang beri penerangan kepada rakyat - Sultan

Turun padang beri penerangan kepada rakyat - Sultan



Sultan Ahmad Shah dengan disaksikan Rosnah Abd. Rashid Shirlin (kanan), menekan butang jentera pemacak tiang sebagai simbolik acara merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Hospital Rompin di Kampung Kolam, Rompin, semalam.

ROMPIN 18 Mei - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menggesa Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi penerangan kepada orang ramai terutama di kawasan luar bandar berhubung bahaya wabak influenza A (H1N1).

Baginda bertitah, ramai di kalangan penduduk luar bandar masih 'buta' terhadap bahaya wabak itu kerana kurangnya pendedahan dan penerangan.

''Kementerian Kesihatan perlu turun padang memberi penjelasan kepada orang ramai terhadap bahaya penyakit itu dan kaedah pencegahan yang berkesan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah tapak Hospital Rompin di Kampung Kolam di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sultan Ahmad Shah bertitah, penjelasan terperinci terhadap penyakit berkenaan perlu memandangkan ramai di kalangan rakyat yang tidak mementingkan penjagaan kesihatan diri.

Menurut baginda, penjagaan kesihatan diri adalah penting kerana pengabaiannya akan menjadi beban kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

''Penjagaan kesihatan adalah asas kesucian moral yang menjurus kepada kesucian dalam keluarga dan masyarakat," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah meminta Kerajaan Pusat membina sebuah hospital baru bagi menggantikan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan kerana dianggap ketinggalan zaman.

''Oleh kerana Pahang semakin maju, sudah tiba masanya negeri ini mempunyai sebuah hospital baru bagi menggantikan HTAA," titah baginda.

Mengulas pembinaan Hospital Rompin bernilai RM110 juta itu, Sultan Ahmad Shah menggesa supaya pembinaannya dapat disiapkan mengikut jadual pada November 2011.

Menurut baginda, pembinaannya di kawasan seluas 7.7 hektar itu adalah dianggap strategik kerana berada di pintu masuk ke Pulau Tioman.

''Rakyat akan mendapat kemudahan rawatan terbaik di hospital ini terutama ketika dunia dilanda pelbagai penyakit merbahaya," titah baginda.

Sunday, May 17, 2009

Kes kedua H1N1 disahkan

Satu lagi kes
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my

KANAK-KANAK perempuan ditemani bapanya datang secara sukarela ke Hospital Sungai Buloh semalam untuk membuat ujian pengesahan Influenza A selepas menghidap demam sebaik pulang dari London.

Rakan mangsa pertama sah dijangkiti virus Influenza A

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan kes kedua Influenza A (H1N1) semalam selepas seorang pelajar perempuan yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Pelajar berusia awal 20-an itu adalah rakan kepada pelajar lelaki berusia 21 tahun yang disahkan mangsa pertama virus itu, dan kedua-duanya menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 yang sama dari AS.

Dengan pertambahan satu lagi kes itu, serta Turki dan India memasuki senarai negara disahkan dijangkiti semalam, diikuti Jepun dengan tiga kes jangkitan, menjadikan jumlah jangkitan kes selesema berkenaan meningkat kepada 8,451 kes di 39 negara, membabitkan 72 kematian.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Ramlee Rahmat, berkata ketika ini, mangsa kedua dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Kita juga mengambil tindakan mengkuarantin ahli keluarganya di rumah dan mereka dilaporkan sihat.

JURURAWAT Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengadakan pemeriksaan saringan virus Influenza A kepada orang ramai yang datang untuk menerima rawatan di hospital itu, semalam. - Bernama

"Mangsa pertama dan kedua pulang ke tanah air (Rabu lalu) bersama dua lagi rakan, namun pemeriksaan mendapati kedua-dua rakan mereka dalam keadaan sihat," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan Malaysia mencatatkan kes pertama H1N1 selepas seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang baru pulang dari AS disahkan dijangkiti virus itu.

Dr Ramlee berkata, hasil pemeriksaan mengesahkan hanya 192 penumpang, termasuk 15 anak kapal MAS menaiki pesawat MH091 dari Newark, AS yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi, Rabu lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 119 penumpang dilaporkan masih berada dalam negara iaitu 81 warga tempatan, manakala 38 lagi penumpang luar negara.

Katanya, baki 73 orang penumpang pesawat berkenaan meneruskan penerbangan ke destinasi lain pada hari sama.

"Kita sudah memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya mengambil tindakan sewajarnya di negara yang dikunjungi semua penumpang terbabit," katanya.

Mengenai maklum balas penumpang pesawat berkenaan, beliau berkata, setakat ini 35 penumpang pesawat itu sudah menghubungi kementerian dan maklumat berkenaan sudah diedarkan kepada Jabatan Kesihatan negeri terbabit bagi memastikan mereka dikuarantin di rumah masing-masing selama tujuh hari.

Pada masa sama, Dr Ramlee berkata, semua Pejabat Kesihatan negeri sudah diarah bersiap sedia termasuk menjalankan pemeriksaan dua kali sehari terhadap semua penumpang itu.

"Kita turut mengkuarantin tiga penumpang lain yang sepatutnya meneruskan perjalanan ke destinasi lain, tetapi masih menginap di hotel. Oleh kerana mereka tidak menetap di sini (Malaysia), mereka dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sehingga Rabu depan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada tiga penumpang terbabit adalah warga tempatan atau pelancong asing.

Dr Ramlee berkata, penumpang yang ingkar memberikan kerjasama selepas dikesan dan dihubungi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Setakat ini, seramai 88,544 orang sudah melalui proses pemeriksaan menggunakan 20 mesin pengimbas pada semua pintu masuk ke negara ini di seluruh negara.

"Oleh itu, kami mengarahkan semua yang terbabit dalam kes ini supaya tampil memberikan kerjasama bagi mengelak penularan wabak," katanya.

Dr Ramlee berkata, sehingga tengah malam kelmarin, sembilan orang yang mempunyai simptom virus itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, masing-masing dua Hospital Tuanku Fauziah, Perlis, Hospital Melaka dan Hospital Pulau Pinang, manakala satu di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

"Daripada 16 kes ini, hanya satu kes di Pulau Pinang disahkan positif H1N1, manakala 12 lagi disahkan negatif. Kita masih menunggu keputusan yang lain," katanya.





Kes kedua H1N1 disahkan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 16 Mei - Kes kedua selesema babi atau influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Kes kedua itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pagi ini dan mangsa berada di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil, manakala keluarga mangsa dikuarantin di rumah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, pelajar perempuan itu menaiki pesawat yang sama dengan mangsa pertama dan merupakan sekumpulan empat orang pelajar dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan, dua lagi pelajar kumpulan yang sama itu berada dalam keadaan sihat.

''Semasa saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelajar perempuan itu tidak mengalami demam.

''Dia hanya dikesan setelah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang semalam dan disahkan positif inflenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pagi ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, pelajar lelaki berumur 21 tahun berasal dari Lembah Klang menjadi mangsa pertama menghidap virus tersebut.

Bagaimanapun, Ramlee berkata, keadaan mangsa pertama itu kini dilaporkan tiada demam lagi dan berada dalam keadaan stabil di wad pengasingan Sungai Buloh manakala lima ahli keluarganya termasuk kakitangan klinik swasta yang pernah memberikan rawatan kepada mangsa itu sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Ramlee berkata, kesemua penumpang lain yang berada dalam penerbangan dengan dua pelajar terbabit telah dikenal pasti membabitkan seramai 192 penumpang dan 15 anak kapal.

''Penerbangan ini adalah destinasi terakhir dan bukan penerbangan kongsi kod dengan mana-mana syarikat.

''Daripada 192 penumpang, 119 masih berada di negara ini iaitu 81 penumpang merupakan warganegara manakala 38 lagi bukan warganegara.

''Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan ke luar negara pada hari yang sama, dan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dimaklumkan untuk tindakan oleh negara masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Ramlee berkata, sehingga pagi ini, hanya 35 daripada 119 penumpang yang berada di negara ini telah membuat membuat panggilan.

''Kementerian Kesihatan menyeru kepada semua penumpang serta kakitangan penerbangan MH 091 terbabit untuk memberikan kerjasama dan sesiapa yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

''Jabatan Kesihatan Negeri telah dimaklumkan senarai nama penumpang tersebut dan pegawai kesihatan akan melakukan pemeriksaan dua kali sehari di rumah mereka yang akan dikuarantin selama tujuh hari," katanya.

Menurut Ramlee, tiga penumpang lagi yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke tempat lain semalam terpaksa diletakkan di bawah pemerhatian dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sehingga 20 Mei ini kerana mereka tidak ada tempat tinggal.

Sementara itu, Ramlee berkata, 16 lagi pemberitahuan kes virus tersebut diterima sehingga 12 tengah malam semalam iaitu sembilan kes di Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Melaka dan Pulau Pinang manakala satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

''Sehingga kini 12 daripada 15 sampel didapati negatif manakala selebihnya masih belum diketahui keputusannya.

''Semalam, seramai 7,528 penumpang yang tiba di negara ini telah disaring di semua pintu masuk negara melalui 20 mesin pengimbas suhu menjadikan seramai 88,544 penumpang telah disaring sejak hari pertama virus ini dikesan," katanya.

Malaysia menjadi negara ke-35 dikesan virus influenza A(H1N1) dan kes tersebut kini telah meningkat sehingga 7,949 kes membabitkan kematian seramai 66 orang.

Ketatkan saringan di pintu masuk: PM

Ketatkan saringan di pintu masuk: PM
Oleh Wan Jailani Razak dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
bminggu@bharian.com.my

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu pemeriksaan terhadap penumpang di pintu masuk negara, terutama penerbangan dari Amerika Syarikat dan negara lain yang dilanda wabak Influenza A (H1N1) diperketatkan.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengambil tindakan yang sangat rapi bagi mengekang serangan penyakit itu daripada menular ke dalam negara.

Katanya, pemeriksaan rapi itu perlu kerana mereka yang tiba dari negara yang dilanda wabak itu mungkin menghidap penyakit itu tanpa diketahui mereka.

"Yang masalahnya dalam keadaan ekonomi terbuka, amat sukar sebab mereka boleh datang dari pelbagai penjuru dan itu tidak semestinya tempat permulaan perjalanan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengesahan kes kedua H1N1 di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Ramlee Rahmat, berkata kes kedua itu membabitkan pelajar yang baru kembali dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lalu dan sedang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pulau Pinang.

Beliau juga meminta semua 198 penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari Amerika Syarikat segera melapor diri di Jabatan Kesihatan atau hospital berdekatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kelmarin, pemangku Menteri kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata ada sebahagian penumpang pesawat MH091 itu transit di KLIA dan menuju destinasi lain, termasuk Indonesia.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengeluarkan larangan terhadap pelawat dari negara yang dijangkiti virus itu daripada memasuki negara ini, Najib berkata, setakat ini tiada larangan dibuat.

Budak pulang dari London antara disaring

Budak pulang dari London antara disaring


JURURAWAT dan orang ramai memakai topeng penutup mulut ketika mengunjungi Hospital Pulau Pinang sebagai langkah berjaga-jaga selepas seorang pesakit di hospital berkenaan disahkan dijangkiti virus Influenza A, semalam.

SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang diserang demam sebaik pulang dari London antara mereka yang membuat saringan pemeriksaan Influenza A (H1N1) di Hospital Sungai Buloh, di sini, semalam.

Kanak-kanak itu pulang dari London bersama ibunya beberapa hari lalu masih pada peringkat saringan dan belum disahkan dijangkiti virus H1N1.

Bagaimanapun, dia datang ke Hospital Sungai Buloh bersama bapanya, manakala ibunya tidak mendapatkan pemeriksaan kerana tiada simptom padanya yang boleh dikaitkan dengan Influenza A.

Selain itu, dua orang lelaki dalam lingkungan 20-an, turut mendapatkan pemeriksaan. Kedua-duanya baru pulang dari luar negara tetapi tidak menyebut nama negara dikunjungi.

Lelaki pertama yang datang sekitar jam 1 tengah hari dikuarantinkan untuk pemeriksaan kerana dikesan memiliki simptom Influenza A, manakala lelaki kedua yang datang sekitar jam 1.45 petang dibenarkan pulang selepas disahkan bebas simptom berkaitan.

Pengesahan diagnosis kanak-kanak perempuan dan lelaki pertama itu hanya diketahui dalam tempoh 10 jam selepas ujian dilakukan.

Bagaimanapun, pihak Hospital Sungai Buloh enggan memberikan maklumat lanjut

Pusat Tindakan Kementerian Kesihatan ketika dihubungi berkata, setakat ini banyak panggilan diterima daripada penumpang pesawat MH091 dari New York ke Kuala Lumpur yang turut dinaiki dua pesakit yang disahkan mengalami Influenza A.

Senarai penumpang pesawat dari Newark diedar

Senarai penumpang pesawat dari Newark diedar


DUA kakitangan Hospital Sungai Buloh memakai topeng muka dan pakaian khas membawa bungkusan pakaian seorang pesakit yang disyaki menghidap Influenza A di hospital itu, semalam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sudah mengedarkan senarai 119 penumpang penerbangan MH091 dari Newark, Amerika Syarikat termasuk 15 anak kapalnya, ke semua Jabatan Kesihatan Negeri bagi tindakan segera seperti pengesanan, pengawasan dan kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata nama 73 penumpang lain yang meneruskan penerbangan ke luar negara pada 13 Mei lalu, turut dirujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tindakan negara masing-masing.

"Semua penumpang terbabit dinasihatkan mengikut arahan pihak kesihatan dengan mematuhi langkah kawalan yang diberikan iaitu kuarantin di rumah sebelum pemantauan kesihatan dilakukan.

"Daripada jumlah itu, tiga penumpang yang transit di Kuala Lumpur turut diletakkan di bawah pemerhatian di Hospital Sungai Buloh bagi tujuan kuarantin sehingga Rabu ini," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perkembangan terbaru setakat jam 12 malam kelmarin, menyaksikan Pusat Kesiapsiagaan Dan Respons Krisis (CPRC), kementerian menerima 16 lagi notifikasi kes dengan sembilan kes dirujuk ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, masing-masing dua kes di Hospital Tunku Fauziah, Kangar; Hospital Melaka dan Hospital Pulau Pinang serta satu kes di Hospital Sultan Aminah, Johor.

Daripada jumlah itu, 12 sampel daripada 15 yang diambil disahkan negatif, manakala selebihnya belum diketahui.

Katanya, 20 pengimbas suhu badan di pasang di semua pintu masuk dan seramai 7,528 individu yang tiba dari negara terbabit H1N1 telah disaring iaitu 6,308 orang di pintu masuk udara, pelabuhan (447) dan di pintu masuk darat (773).

"Bilik CPRC turut menerima 131 pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pandangan mengenai perjalanan ke luar negara, rawatan, vaksin dan saringan berkaitan H1N1. Panggilan berkenaan termasuk 35 daripada penumpang yang menaiki penerbangan MH091 pada pagi 13 Mei lalu," katanya.

Dr Ismail berkata, kementerian akan terus memaklumkan orang ramai mengenai situasi semasa wabak itu melalui laman web kementerian dan hebahan media dari semasa ke semasa.

Saturday, May 16, 2009

Kes pertama H1N1

Kes pertama H1N1


Seorang petugas Hospital Sungai Buloh yang berpakaian khas memeriksa ambulans dipercayai membawa mangsa disyaki menghidap influenza A (H1N1). – UTUSAN\Mohd. Saifudin Rashid


PUTRAJAYA 15 Mei – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan seorang pelajar menjadi penghidap pertama virus influenza A (H1N1) di negara ini.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Lembah Klang itu dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh, manakala lima ahli keluarganya dikuarantin di rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memangku tugas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata, pelajar itu baru pulang dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, pelajar terbabit mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada pukul 6.45 petang hari yang sama.

‘‘Pelajar itu telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada hari ini.

‘‘Dia telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan yang baik dan stabil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau seterusnya memberitahu, pelajar tersebut tidak mengalami demam atau kepanasan badan semasa saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

‘‘Seseorang pesakit yang dijangkiti selesema mungkin tidak mengalami tanda-tanda demam pada peringkat awal,” katanya.

Mengenai lima ahli keluarga pelajar yang dikuarantin di rumah, Cho Ha berkata, mereka akan dibenarkan keluar dari rumah jika tidak mempunyai tanda-tanda penyakit itu dalam tempoh tujuh hari.

‘‘Kuarantin di rumah bertujuan melihat sama ada mereka mengalami tanda-tanda penyakit itu atau dijangkiti virus influenza A,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataannya hari ini berkata, selain satu kes yang disahkan sebagai H1N1, Kementerian Kesihatan turut menerima 11 pemberitahuan mengenai kes itu semalam.

Beliau berkata, enam pesakit telah diasingkan di Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Tuanku Ja‘afar, Seremban dan masing-masing satu kes di Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh; Hospital Pulau Pinang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru.

‘‘Kesemua kes menunjukkan tanda jangkitan virus influenza A dan mempunyai sejarah melawat negara yang dilanda wabak, manakala sampel klinikal mereka telah dihantar untuk ujian makmal,” katanya.

199 penumpang MH091 dijejaki

199 penumpang MH091 dijejaki

PUTRAJAYA 15 Mei – Kesemua 199 penumpang dan anak kapal pesawat MH091 dari Newark, Amerika Syarikat (AS) yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 7.15 pagi kelmarin diminta menghubungi Kementerian Kesihatan segera.

Pemangku Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, langkah itu penting untuk mencegah penularan influenza A (H1N1) di negara ini.

Katanya, semua penumpang itu yang berkongsi pesawat dengan seorang pesakit yang disahkan positif influenza A (H1N1) hari ini boleh menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300.

‘‘Mereka juga boleh datang ke hospital, klinik atau pejabat-pejabat kesihatan terdekat di seluruh negara.

‘‘Sekiranya mereka enggan melaporkan diri, maka kita akan menjejaki mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.