Thursday, May 21, 2009

Kadar inflasi negara menurun 0.2%

Kadar inflasi negara menurun 0.2%

PUTRAJAYA 20 Mei - Kadar inflasi Malaysia pada April lalu menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Keadaan itu disebabkan penurunan indeks harga makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 0.4 peratus serta pengangkutan, pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing sebanyak 0.2 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan indeks dapat dilihat dalam kumpulan pakaian dan kasut; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isu rumah; kesihatan, pendidikan dan restoran dan hotel.

Empat kumpulan utama lain iaitu minuman alkohol dan tembakau; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain; komunikasi dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan adalah kekal.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri memberitahu, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kadar inflasi meningkat sebanyak 3.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, ia disebabkan kenaikan ketara indeks harga bagi semua kumpulan utama yang berwajaran tinggi kecuali pengangkutan, pakaian dan kasut, dan komunikasi.

''Indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol bagi April berbanding bulan sama tahun lepas menunjukkan perubahan peratus yang tinggi sebanyak 7.5 peratus manakala indeks bukan makanan naik 0.9 peratus.

''Bagi tempoh antara Januari hingga April tahun ini, indeks makanan dan minuman bukan alkohol serta indeks bukan makanan mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 8.9 peratus dan 1.0 peratus," katanya.

No comments:

Post a Comment