Showing posts with label Perhimpunan Haram LTTE. Show all posts
Showing posts with label Perhimpunan Haram LTTE. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

'Demonstrasi babit isu di Sri Lanka tak relevan'

'Demonstrasi babit isu di Sri Lanka tak relevan'

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

KDN digesa bertindak tegas elak perhimpunan haram

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram dan sebarang usaha campur tangan pihak tempatan dalam isu membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan Kerajaan Sri Lanka.

Presiden Gabungan Persatuan India Malaysia, P Mukuntha, berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai hak untuk membuat keputusan dan mencari penyelesaian terbaik krisis di negara berkenaan dan tindakan pihak tertentu mengadakan demonstrasi jalanan tidak relevan sama sekali.

"Apa yang berlaku di sana (Sri Lanka) adalah krisis dalaman negara itu. Jadi, PBB paling sesuai mencari jalan keluar krisis kemanusiaan di sana. Mereka mempunyai mekanisme yang diketahui berkemampuan untuk menilai apa yang berlaku di negara berkenaan.

"Tidak ada guna jika kita di sini mengadakan pelbagai siri demonstrasi jalanan sehingga menjadi acara mingguan sedangkan suara itu boleh disalurkan oleh pemimpin kita pada persidangan PBB. Ini semua hanya motif mahu cari publisiti dan nama," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kira 2,000 penduduk berkumpul di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves bagi membantah tindakan Sri Lanka membunuh masyarakat Tamil di negara itu dalam krisis bersenjata dengan LTTE.

Perhimpunan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan LTTE itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan; Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran.

Krisis berdarah menyebabkan lebih 100,000 penduduk terkorban sejak tiga dekad itu berakhir hujung minggu lalu selepas tentera kerajaan mendakwa berjaya membunuh pemimpin tertinggi LTTE, Vellupillai Prabakharan selepas pertempuran hebat di daerah Mullaittivu.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar, berkata KDN perlu bertegas bagi mengelak kumpulan tertentu yang kononnya mahu menjadi juara dalam memperjuangkan nasib golongan tertentu tidak sampai menggugat ketenteraman.

Katanya, perhimpunan yang semakin kerap diadakan sejak akhir-akhir ini dibimbangi banyak dipengaruhi anasir luar dan budaya politik jalanan seperti itu tidak boleh dibiarkan.

"Perhimpunan haram seperti ini akan mengganggu tumpuan kerajaan memakmurkan ekonomi kepada rakyat. Tidak kiralah apa tujuan perhimpunan itu diadakan, namun jelas sekali perkara seperti ini perlukan ketegasan pihak berkuasa.

"Jangan bagi muka sangat, risau ia akan jadi budaya rakyat negara ini, asal ada benda tidak puas hati turun ke jalan raya dan buat demonstrasi. Penganjur perhimpunan seperti ini sepatutnya ditahan di bawah Akta Hasutan sebagai pengajaran," katanya.

Monday, May 25, 2009

Tidak hirau amaran polis

Tidak hirau amaran polis


SeBahagian penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam mengadakan tunjuk perasaan di Batu Caves, Gombak, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Mei - Tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa, kira-kira 1,000 penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tetap meneruskan perhimpunan di Kuil Sri Subramaniar, di Jalan Besar Batu Caves, Gombak, dekat sini hari ini.

Perhimpunan itu sekali gus melanggar amaran polis yang dikeluarkan hari ini supaya semua pihak tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat permit.

Turut hadir memberi ceramah ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, perhimpunan itu dianjurkan oleh World Tamil Relief (WTR) bermula kira-kira pukul 10 pagi sehingga pukul 1.30 petang.

Beliau berkata, berikutan kedegilan pihak penganjur meneruskan perhimpunan tersebut, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap WTR mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

"Jika didapati bersalah, penganjur boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

"Pihak polis akan meneliti rakaman video yang diambil sepanjang ceramah diadakan itu dan akan melihat perkara itu dari sudut perundangan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram bagi menyokong kumpulan pemberontak LTTE di Kuil Sri Subramaniar, di Jalan Besar Batu Caves, Gombak, hari ini.

Ini kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit polis dan mana-mana individu yang menyertainya dianggap peserta perhimpunan haram dan boleh dikenakan tindakan.

Abdul Rahim memberitahu, antara isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh para pemimpin terbabit ialah mengutuk dasar kerajaan Sri Lanka berhubung pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam dan penyokong LTTE.

"Mereka turut menyelar serangan yang dipercayai telah mengakibatkan pemimpin tertinggi LTTE, Vellupillai Prabhakaran terbunuh pada Isnin lalu.

"Pemimpin berkenaan turut menyeru masyarakat dunia bersama-sama membantu pemberontak LTTE tersebut bagi menghentikan peperangan," katanya.

Abdul Rahim menambah, pihaknya berjaya mengawal keadaan serta tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan terbabit.

"Adalah mengecewakan kerana walaupun amaran telah diberikan, orang ramai tetap berdegil untuk meneruskannya," katanya.

Rakyat Malaysia jangan sokong pemberontak

Rakyat Malaysia jangan sokong pemberontak

KUALA LUMPUR 24 Mei - Rakyat Malaysia tidak sepatutnya menyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka kerana tindakan itu boleh mengancam kestabilan negara.

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, tindakan itu mampu mengganggu negara jika LTTE diberi sokongan berterusan.

"Sepatutnya rakyat Malaysia tidak menyokong perbuatan ini, tambahan pula ia boleh menimbulkan masalah perkauman antarabangsa.

"Banyak lagi masalah yang perlu diberi perhatian mengapa isu yang tidak membawa faedah yang kita tumpukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sokongan pihak tertentu terhadap LTTE di Sri Lanka yang kini dilihat semakin ketara di Malaysia.

Pada 20 Mei lalu, kira-kira 100 penyokong LTTE berhimpun di hadapan bangunan OSK Investment di sini bagi membantah tindakan kerajaan China yang didakwa membantu Sri Lanka dalam serangan ke atas kumpulan itu.

Hari ini, satu perhimpunan haram dianjurkan bagi menyokong LTTE di Kuil Sri Subramaniar, di Jalan Besar Batu Caves, Gombak.

Bagaimanapun, Zainal memberitahu, masyarakat Malaysia boleh beri sokongan melibatkan kemanusiaan tetapi jika memberontak untuk menjatuhkan kerajaan, itu perbuatan yang tidak wajar.

"Itu hal orang dan hal ehwal dalaman negara orang, harus dilihat sebagai perhubungan antarabangsa dan bukan masalah perkauman antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula memberi pandangan berbeza berhubung isu tersebut.

Katanya, penglibatan pihak tertentu di negara ini terhadap LTTE dengan mengadakan perhimpunan atau mengeluarkan kenyataan secara terbuka harus dilihat sebagai isu kemanusiaan.

"Masyarakat negara ini sangat prihatin terhadap penduduk Sri Lanka yang sengsara ekoran kemelut yang mula melanda sejak Januari lalu.

"Beberapa pihak termasuk ahli-ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan rasa simpati terhadap penduduk negara berkenaan," katanya.

Tambahnya, setiap orang harus melihat sokongan pihak-pihak tertentu itu sebagai isu kemanusiaan dan ia bukanlah isu perkauman seperti yang didakwa oleh segolongan yang tidak mengenali erti simpati.

Sunday, May 24, 2009

Jangan sertai perhimpunan - Polis

Jangan sertai perhimpunan - Polis

KUALA LUMPUR 23 Mei - Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram bagi menyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Kuil Sri Subramaniar, di Jalan Besar Batu Caves, Gombak, dekat sini esok.

Ini kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit polis dan mana-mana individu yang menyertainya dianggap peserta perhimpunan haram dan boleh dikenakan tindakan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk tujuan mengadakan perhimpunan itu.

Katanya, dakwaan bahawa perhimpunan itu mendapat permit hanyalah provokasi dan propaganda pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Mesej itu tersebar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta orang ramai untuk berkumpul di Kuil Sri Subramaniar di Jalan Besar Gombak awal pagi esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967, sebarang perhimpunan yang diadakan tanpa permit polis adalah menyalahi undang-undang.

Oleh itu katanya, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

Difahamkan, perhimpunan itu akan diadakan 10 pagi esok di kuil terbabit yang dianjurkan oleh para penyokong pertubuhan LTTE.

Abdul Rahim mengingatkan orang ramai supaya jangan menyalahgunakan tempat ibadat seperti kuil bagi menggerakkan agenda tersirat dan medan politik.

Katanya, tempat ibadat sewajarnya digunakan untuk aktiviti keagamaan dan kerohanian tanpa mencampur-aduk hal-hal yang boleh mencetuskan kerisauan orang awam dan menjejaskan keamanan.

"Saya bimbang pengaruh LTTE ini akan menjadi 'wabak' yang akan menjejaskan ketenteraman," katanya.

Pada 20 Mei lalu, kira-kira 100 penyokong LTTE berhimpun di hadapan bangunan OSK Investment di sini, bagi membantah tindakan kerajaan China yang didakwa membantu Sri Lanka dalam serangan ke atas kumpulan itu.