Showing posts with label Kota Buku. Show all posts
Showing posts with label Kota Buku. Show all posts

Thursday, May 21, 2009

KOTA BUKU

KOTA BUKU



SEKOLAH Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Jalan Batu di Kuala Lumpur bakal berubah wajah setelah dipilih untuk dijadikan pusat berkelompok bagi menjalankan aktiviti dan urusan berkaitan dengan dunia buku secara lebih tersusun dan bersungguh-sungguh.

Pusat dinamakan Kota Buku yang terletak di Jalan Raja Laut itu apabila siap sepenuhnya tahun depan bakal menjadi nukleus bagi membolehkan para usahawan, persatuan dan perusahaan membabitkan buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Kewujudan pusat itu dilihat mampu memberi manfaat besar kepada para sasterawan, penerbit, usahawan dan masyarakat pembaca di negara ini, selain menarik minat pengusaha buku di Asia untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat dagangan buku utama di rantau ini.

Apabila beroperasi nanti, ia bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur sekali gus tarikan pelancong dengan imej sebagai Kota Raya Ilmu.

n Pemandangan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur dari bangunan Sime Darby dan bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. – UTUSAN/Noor Asrekuzairy Mat Salim




Kota Buku beri kesan positif kepada negara

KUALA LUMPUR 20 Mei - Idea kerajaan mewujudkan kota buku bagi membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan karya mampu memberi kesan positif kepada pembangunan sekali gus menampilkan imej baru negara.

Pensyarah di Jabatan Sosio Budaya Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, kota buku mampu menggalakkan penerbit buku berbahasa Melayu terus berkecimpung dalam industri penerbitan di negara ini.

"Dengan adanya kota buku ini, kita akan menempatkan penulis-penulis serta penerbit buku secara lebih berpusat.

"Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kota ini dan ia juga salah satu usaha kita memastikan terbitan karya bahasa Melayu terus mendapat tempat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kota buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini.

Menurut Muhyiddin, projek yang akan diselenggarakan Kementerian Pelajaran itu akan mengumpulkan para penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, kota buku itu akan menjadikan Malaysia sebaris dengan negara lain yang mempunyai kota buku seperti kompleks bandar raya buku di Tehran, Iran dan Shenzen, China.

"Malah kota buku juga mercu tanda baru kepada negara. Jika sebelum ini pengunjung melawat tempat-tempat menarik lain namun kini kota buku menjadi destinasi yang perlu dilawati," katanya.

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berkata, penubuhan kota buku mampu menggalakkan budaya suka membaca dan seterusnya melahirkan generasi yang berilmu.

"Penubuhan kota buku mampu menggalakkan masyarakat terutama generasi muda mencintai ilmu dan kaya dengan pengetahuan.

"Apabila kita berilmu, ia menjadikan masyarakat matang dan membuat keputusan secara waras, kreatif dan lebih berdisiplin," katanya yang banyak menulis buku-buku psikologi.

Tambah Saedah, kota buku juga berperanan menjadi saluran utama bagi promosi dan jualan buku tempatan serta sebagai pusat penterjemahan buku dalam pembelajaran bahasa Melayu.

"Jika sebelum ini, buku rujukan hanya boleh didapati dalam bahasa Inggeris namun hari ini kota buku akan berperanan menjadikan pusat penterjemahan," ujarnya.

Wednesday, May 20, 2009

Peruntukan RM27j wujud Kota Buku

Peruntukan RM27j wujud Kota Buku

Oleh Johari Ibrahim dan Nazmi Yaakub
bhnews@bharian.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) melancarkan Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia di Putrajaya, semalam. Hadir sama Pengerusi Terjemahan Negara Malaysia Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang (dua dari kiri), Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Md Dom (kiri) serta Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia Mohd Khair Ngadiron. - Foto Izhari Ariffin

Premis berkelompok laksana urusan lebih tersusun: TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM27 juta mewujudkan Kota Buku di ibu negara sebagai premis berkelompok bagi penulis, sasterawan dan penerbit menjalankan urusan mengenai dunia buku secara lebih tersusun dan bersungguh-sungguh.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab industri buku selain penerbitan, pemasaran, pengedaran dan penulisan buku sekurang-kurangnya pada peringkat Asia.

"Kita berharap dengan kewujudan Kota Buku, penerbit dan penulis berpeluang menyebarluaskan hasil karya dan kerajaan akan membantu mempromosikannya.

"Kita berharap peminat sastera akan gembira dengan hasil ditampilkan penerbit," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan dengan sasterawan Malaysia dan pelancaran koleksi buku terjemahan siri sastera Malaysia terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di sini, semalam.

Sebanyak 28 judul buku sastera karya penulis Malaysia dilancarkan membabitkan terjemahan ke bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol dalam usaha memasarkannya ke seluruh dunia.

Turut hadir Pengerusi ITNM, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh; Sasterawan negara, Datuk A Samad Said; Prof Dr Mohamad Salleh dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom.

Muhyiddin berkata, kerja menaikkan taraf bangunan bagi dijadikan Kota Buku itu akan dimulakan akhir tahun ini yang sebahagian daripada premis itu akan dijadikan Muzium Buku.

"Ia projek yang memberikan kita galakan dan insentif untuk majukan bidang penerbitan dan kesusasteraan di negara kita," katanya.

Beliau berkata, Kota Buku itu akan diuruskan Kementerian Pelajaran dengan meletakkan pegawainya, manakala ruang pameran dan jualan buku disediakan untuk disewakan kepada pihak yang berminat.

Terdahulu, ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, Kota Buku itu juga bermatlamat membawa pulangan jangka panjang bagi menarik minat pengusaha buku Asia menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat dagangan buku utama di rantau ini.

"Pendek kata, Kota Buku ini apabila beroperasi kelak bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur, sekali gus tarikan pelancong dengan imej sebagai Kota Raya Ilmu," katanya.


Kota Buku mercu tanda baru KL

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my


PUTRAJAYA 19 Mei – Kota Buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini untuk membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, projek itu yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumpulkan para penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Menurutnya, bangunan untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan kerja-kerja pengubahsuaian dengan kos kira-kira RM20 juta akan dimulakan tidak lama lagi dengan sebahagiannya dijadikan Muzium Guru manakala sebahagian lain sebagai Kota Buku.

“Kota Buku akan memberi peluang kepada Kuala Lumpur menjadi pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku.

“Ia merupakan satu projek untuk memberi galakan dan dorongan bagi memajukan bidang penerbitan dan kesusasteraan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pertemuan dengan para sasterawan negara di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sukatan pelajaran sastera di sekolah akan digubal dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan bidang sastera tempatan menerusi sistem pendidikan.

Jelasnya, antara langkah yang akan diambil adalah mengenal pasti jenis-jenis buku yang boleh digunakan di sekolah sebagai bahan sastera baru.

Muhyiddin sebelum itu melancarkan koleksi 28 judul buku terjemahan siri sastera Malaysia.

Ia merupakan sebahagian daripada 100 karya yang diterjemah ke pelbagai bahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang dijangka selesai pada penghujung 2010.

Sebanyak 23 daripadanya diterjemah ke bahasa Inggeris, empat bahasa Perancis dan satu bahasa Sepanyol.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md. Dom; Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.