Saturday, May 23, 2009
Hadkan jumlah mata pelajaran disokong
KUALA LUMPUR 22 Mei - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong usaha Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat menyelaras kriteria pemilihan pelajar bagi mendapatkan biasiswa tetapi berupaya melahirkan pelajar yang mempunyai kepintaran secara menyeluruh.
"Saya amat bersetuju dengan langkah kementerian untuk mengehadkan kerana kita tidak mahu pelajar yang 'diangkat' sebagai generasi pintar ini sebenarnya bergantung kepada buku semata-mata tetapi lemah dalam aspek lain secara keseluruhan.
"Modal insan yang ingin dilahirkan menerusi sistem pendidikan negara perlu mempunyai kemahiran menyeluruh dan bukannya hanya sekadar berlumba untuk menjadi mengejar rekod (jumlah A) semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Ali mengulas hasrat Kementerian Pelajaran mengkaji dasar sedia ada untuk tidak membenarkan lagi para pelajar mengambil sehingga 20 mata pelajaran dalam SPM.
Semalam Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, amalan membenarkan seseorang calon SPM mengambil sehingga 20 mata pelajaran menyebabkan timbul masalah termasuk membabitkan pemilihan bagi mendapatkan biasiswa kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, had siling yang paling sesuai untuk kementerian mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil pelajar ialah antara 10 hingga 12 subjek.
Menurut beliau, sistem kebebasan yang dipraktikkan sekarang menyebabkan ramai pelajar tertekan kerana terlalu banyak masa dihabiskan untuk mengulang kaji sehingga mengabaikan aspek kerohanian dan sahsiah diri.
"Pelajar yang mengambil jumlah mata pelajaran yang terlalu banyak gagal menikmati keseronokan semasa proses pembelajaran dan lebih teruk mata pelajaran yang diambil itu tidak mempunyai nilai strategik untuk masa depan.
"Jadi apa guna walaupun mungkin mereka gah berjaya mencipta sehingga 20 A1 sedangkan hanya mata pelajaran tertentu sahaja yang diambil kira untuk kemasukan ke universiti," jelasnya.
Berhubung masalah biasiswa, Mohamad Ali menjelaskan, jumlah A antara elemen yang dinilai bagi seseorang pelajar memperoleh biasiswa.
Tegasnya, adalah sesuatu yang tidak adil kerana pelajar sekolah asrama penuh dihadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil walaupun mereka mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang.
Sedangkan jelas beliau lagi, rata-rata pelajar yang bersekolah di sekolah asrama penuh adalah golongan pelajar yang lahir daripada keluarga miskin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng turut menyifatkan langkah Kementerian Pelajaran itu sebagai tepat.
Katanya, apa yang penting ialah kualiti pelajar dan bukannya terlalu ghairah mencipta kuantiti bilangan A seolah-olah wujud pertandingan untuk memahat nama secara tidak langsung antara pelajar dan sekolah.
Yim Pheng menambah, kecenderungan untuk mengejar jumlah A menyebabkan timbul masalah seperti kesuntukan masa selain kekurangan kepakaran di kalangan guru.
Keadaan itu, menurutnya, menyebabkan pelajar terpaksa belajar di luar secara berbayar dan ia menelan kos yang banyak.
Friday, May 22, 2009
Syor had jumlah subjek boleh diambil calon SPM
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
MUHYIDDIN mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan Exco Puteri Umno diketuai Datuk Rosnah Rashid Shirlin (duduk) di Putrajaya, semalam. |
Langkah beri peluang adil untuk biasiswa kerajaan: Muhyiddin
PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mungkin mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diduduki calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berasrama penuh dan bukan berasrama supaya seimbang sama antara satu sama lain, sekali gus memberi peluang adil untuk biasiswa kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan cemerlang SPM yang tidak seragam seperti ada yang mendapat 14A, 15A dan kadang-kadang sehingga 19A boleh menimbulkan isu termasuk mengenai penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Satu daripada perkara yang disebutkan (mengenai biasiswa JPA) ialah mengapa sesetengah dapat dan sesetengah lagi tidak dapat berlandaskan kepada (keputusan) 14A, 15A dan kadang-kadang 19A.
"Sesetengah (pelajar) sekolah asrama penuh pula (hanya) dapat 9 atau 10A dan sudah tentu tidak boleh setanding mereka yang mendapat lebih banyak A," katanya selepas menerima kunjungan hormat Exco Puteri Umno di pejabatnya, di sini, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas laporan isu pembahagian biasiswa JPA yang sesetengah pihak dakwa memihak kepada golongan tertentu.
Justeru, katanya, Kementerian Pelajaran akan meneliti kemungkinan mengehadkan jumlah mata pelajaran yang perlu diambil oleh setiap pelajar pada peperiksaan SPM.
Pada masa sama, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka mempengerusikan satu mesyuarat khusus bagi membincangkan isu berkenaan secara terperinci pada Isnin ini.
Beliau berkata, kerajaan sedar mengenai isu berkenaan dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.
"Mengapa perlu seseorang mengambil sampai 20 mata pelajaran, sesetengah (mata pelajaran) tidak diajar di sekolah dan mereka belajar di kelas tuisyen kemudian menduduki peperiksaan.
"Saya tiada masalah dengan mereka tetapi ini menimbulkan isu lain berkaitan dengan jumlah keputusan A1 yang tidak konsisten (di kalangan pelajar cemerlang)," katanya sambil menambah keputusan itu tidak membolehkan perbandingan sama rata dibuat.
Muhyiddin juga berkata, JPA perlu mengambil kira status pelajar luar bandar yang kurang berkemampuan ketika memberi biasiswa kerana golongan itu tidak mampu bersaing dengan pelajar bandar.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dipetik sebagai berkata Barisan Nasional (BN) bersetuju supaya mekanisme diwujudkan bagi menangani isu pengagihan biasiswa JPA kepada pelajar lepasan SPM yang mencatatkan keputusan cemerlang.
Kaji hadkan ambil subjek SPM - TPM
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 21 Mei - Kecenderungan pelajar-pelajar pintar yang sanggup mengambil sehingga 20 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin akan berakhir.
Ini kerana Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemungkinan untuk mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh calon peperiksaan awam itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, amalan membenarkan seseorang calon SPM mengambil sehingga 20 mata pelajaran menyebabkan timbul masalah termasuk membabitkan pemilihan bagi mendapatkan biasiswa kerajaan.
''Saya bukannya tidak bersetuju dengan mereka yang mengambil banyak subjek termasuk ada yang sampai 20 subjek tetapi ia menyebabkan timbulnya soal tidak konsisten mendapat keputusan A1.
''Jadi, kita hendak selaraskan sama ada pelajar sekolah berasrama penuh atau sekolah lain akan ditentukan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan barisan kepimpinan baru Pergerakan Puteri UMNO yang diketuai Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada 14 Mei lalu bahawa kerajaan akan mengkaji kriteria pemilihan bagi mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tee Keat dipetik sebagai berkata, pada masa ini kriteria pemilihan berasaskan kepada merit (20 peratus), kaum (60 peratus ), penduduk Sabah dan Sarawak (10 peratus) dan pelajar dari kumpulan kurang berkemampuan (10 peratus).
Muhyiddin berkata, setakat ini isu biasiswa JPA telah dibincangkan sebanyak dua kali dalam mesyuarat Kabinet.
Katanya bagi membincangkan dengan lebih lanjut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 25 Mei ini bagi meneliti perkara itu.
''Saya tidak pasti sama ada ia membabitkan senarai pelajar yang ditawarkan biasiswa JPA pada masa ini atau senarai pada masa akan datang," katanya.
Kata beliau, kebiasaannya kriteria mendapatkan biasiswa berasaskan kepada jumlah A1 yang diperoleh dalam SPM.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu menyebabkan terdapat pelajar termasuk dari sekolah asrama penuh tidak dapat bersaing kerana mereka tidak dibenarkan mengambil lebih banyak mata pelajaran.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan tetap mengambil kira soal kedudukan pelajar yang datang dari sekolah di kawasan pedalaman atau golongan kurang berkemampuan dalam menentukan kelayakan mendapatkan biasiswa JPA.
''Mereka tidak boleh bersaing dengan pelajar-pelajar yang datang dari sekolah di kawasan bandar dan kalau kita tidak beri pertimbangan, mereka tidak akan mendapat peluang," katanya.