Wednesday, May 20, 2009

Tingkatkan hubungan dagang dengan Qatar - Tuanku Mizan

Tingkatkan hubungan dagang dengan Qatar - Tuanku Mizan


Tuanku Mizan Zainal Abidin, Tuanku Nur Zahirah bersama Emir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani, Permaisuri Sheikha Mozah Nasser Al- Missned (dua dari kanan), Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin dan Noorainee Abdul Rahman pada majlis jamuan negara di Istana Negara, malam tadi. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 19 Mei - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyarankan agar sektor swasta mempertingkat kerjasama perniagaan dengan Qatar bagi mengukuhkan lagi hubungan dagangan di antara kedua-dua negara.

Seri Paduka bertitah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan dagangan dua hala Malaysia-Qatar berjalan lancar dan mahu ia terus dipertingkatkan.

"Beta merasa sukacita hubungan dagangan kedua-dua negara telah meningkat kebelakangan ini dan yakin kemajuan ini mampu terus dipertingkatkan pada masa depan.

"Bagi mencapai hasrat itu, beta ingin menggalakkan sektor swasta dari kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dengan lebih erat bagi mencari peluang-peluang perniagaan agar hubungan perdagangan dan pelaburan dapat dikukuhkan," titah baginda pada Majlis Santapan Diraja bagi meraikan Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani di Istana Negara di sini, malam ini.

Majlis meraikan Emir dan Permaisuri Sheikha Mozah Nasser Al Missned turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka bertitah kehadiran rombongan dari Qatar mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara dan percaya lawatan ini mampu mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

Baginda turut menyatakan rasa gembira kerana Malaysia dan Qatar sering berkongsi pandangan yang sama dalam pelbagai isu antarabangsa terutama mengenai prinsip meletakkan kepentingan proses rundingan dan penyelesaian secara aman terhadap sebarang konflik.

"Beta bangga melihat kedua-dua negara saling bekerjasama rapat melalui pelbagai pertubuhan antarabangsa dalam usaha bersama untuk memastikan dunia yang adil, stabil dan aman," titah baginda.

Baginda juga berharap kedua-dua negara dapat mengekalkan hubungan dan kerjasama yang akrab.

Lawatan ini merupakan lawatan negara pertama Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani ke Malaysia.

Pada Oktober 2003, beliau ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-10 di Putrajaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment