Wednesday, May 20, 2009

Hukum penjara mandatori

Hukum penjara mandatori

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
jenayah@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 19 Mei – Kerajaan diminta supaya meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ke atas mat rempit atau samseng jalanan dengan hukuman penjara mandatori.

Pindaan tersebut dilihat mampu memberi kesan lebih besar untuk membanteras kegiatan itu yang semakin berleluasa dan membimbangkan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan pindaan itu kepada kerajaan sejak dua tahun lalu tetapi sehingga kini tiada maklum balas.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya meminta agar cadangan tersebut difikirkan semula berikutan hukuman sedia ada di bawah seksyen berkenaan kurang berkesan.

Tambahnya, ketika ini Seksyen 42(1) APJ 1987 memperuntukkan denda sekurang-kurangnya RM5,500 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sekurang-kurangnya lima bulan.

“Namun kebanyakan pesalah yang dihukum masih tidak insaf malah akan mengulangi kesalahan serupa selepas menjelaskan bayaran saman.

“Dengan penguatkuasaan lebih tegas seperti hukuman penjara mandatori ini diharap dapat menangani isu samseng jalanan,” katanya pada sidang akhbar di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang operasi bersepadu trafik yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 1 Mei sehingga kelmarin, sebanyak 689 operasi telah dijalankan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 69 samseng jalanan termasuk tiga remaja bawah umur 15 tahun telah ditahan kerana terbabit dalam aktiviti lumba haram.

“Seramai 33 orang telah didakwa di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Sebanyak lima buah motosikal curi turut dirampas dalam operasi terbabit selain satu kes kerana memiliki senjata berbahaya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment