Wednesday, May 20, 2009

Rasuah membimbangkan, indeks persepsi menurun

Rasuah membimbangkan, indeks persepsi menurun

JOHOR BAHRU 19 Mei - Amalan rasuah di negara ini berada pada paras yang membimbangkan apabila persepsi masyarakat terhadap amalan itu menunjukkan penurunan dari setahun ke setahun.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, daripada skala 10 sebagai skor penuh, Indeks Persepsi Rasuah Malaysia berada pada skor 7.04 pada 2006, merosot kepada 6.76 pada 2007 dan turun 6.32 pada 2008.

"Kebimbangan tinggi masyarakat sehingga menyebabkan indeks persepsi rasuah yang semakin buruk, dipengaruhi kemunculan banyak kes tangkapan, aduan dan siasatan pada tahun lalu.

"Amalan rasuah ini tidak boleh dihapuskan tetapi kita boleh kurangkan dengan mendadak menerusi penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk lebih agresif menangani gejala ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Pertandingan Debat Perdana Integriti Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2009 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Indeks rasuah dinilai daripada tahap 10 bagi prestasi paling cemerlang dan tahap satu bagi prestasi paling lemah.

Kajian berkenaan pada tahun lalu melibatkan lebih 15,000 responden yang mewakili isi rumah, penjawat awam dan sektor swasta.

Mohd. Tap berkata, persepsi amalan rasuah tinggi secara tidak langsung menjejaskan imej negara di mata dunia apabila pelabur luar enggan datang ke Malaysia.

Katanya, kesan paling ketara apabila ketiadaan pelabur luar akan menghalang kewujudan industri baru untuk membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga tempatan.

Ditanya unjuran Indeks Persepsi Rasuah Malaysia pada tahun ini, beliau berkata kajian dimulakan pada Ogos hingga akhir Oktober ini.

Katanya, soalan kajian kali ini akan menyaksikan pertambahan satu seksyen baru daripada enam seksyen sedia ada iaitu persepsi mengenai media di Malaysia.

"Masyarakat akan membuat membuat penilaian menerusi persepsi mereka sama ada media di negara ini adalah berintegriti atau tidak," katanya.

Sementara itu, Mohd. Tap berkata, IIM ketika ini menjalinkan kerjasama dengan 21 syarikat yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta yang dikenali sebagai rakan integriti dalam usaha membudayakan nilai- nilai integriti di kalangan masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment