Wednesday, May 20, 2009

Seksyen 51 akta kahwin, cerai dipinda

Seksyen 51 akta kahwin, cerai dipinda

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerajaan bersetuju meminda Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi membolehkan pasangan sama ada suami atau isteri yang memeluk Islam, menuntut hak mereka di mahkamah sivil.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, pindaan tersebut akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi mengelak penganiayaan terhadap pasangan bukan Islam yang membuat keputusan memeluk Islam.

''Apabila seseorang memeluk Islam, mereka tidak ada hak lagi di Mahkamah Sivil sebaliknya semua perkara berkaitan perlu dikemukakan di mahkamah syariah,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Menurutnya, perundangan sedia ada menetapkan mereka yang telah memeluk Islam tidak mempunyai hak lagi di mahkamah sivil dan perlu ke mahkamah syariah.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, pindaan itu juga mampu mengelakkan kes seperti K. Pathmanaban atau Mohd. Ridzuan dari Ipoh yang membawa anak-anaknya memeluk Islam berulang.

Dalam kes tersebut, tiga anaknya iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11; dan Prasana Diksa, setahun, telah dibawa memeluk Islam oleh Mohd. Ridzuan pada 12 April lalu dengan hanya menggunakan bukti sijil kelahiran.

Malah dia juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap tiga kanak-kanak terbabit di mahkamah syariah.

Pada majlis tersebut, seramai 14 guru dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dianugerahkan guru cemerlang.

No comments:

Post a Comment