Wednesday, May 20, 2009

Bandar Tasik Selatan ganti khidmat bas ekspres Puduraya

Bandar Tasik Selatan ganti khidmat bas ekspres Puduraya


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas ekspres di Hentian Puduraya sehingga menyesakkan kawasan bandar raya akan dipindahkan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu di Bandar Tasik Selatan di sini, yang dijangka siap tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata langkah itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan di Hentian Puduraya.

Beliau berkata, Hentian Puduraya, yang mula beroperasi pada 1976 itu bakal menjalani proses naik taraf dengan kos RM30.3 juta dan digunakan sebagai terminal perkhidmatan bas dalam bandar.

"Terminal Pengangkutan Bersepadu di Bandar Tasik Selatan, yang dibina mengikut unjuran logistik 2002, akan dikaji semula dengan mengambil kira keperluan semasa seperti peningkatan penumpang berikutan pemberhentian operasi Stesen Bas Pekeliling, Hentian Putra dan Hentian Jalan Duta.

"Kita sudah menyelaras beberapa langkah jangka panjang dan jangka pendek bagi menambah baik sistem pengangkutan selain mengurangkan kesesakan di pusat bandar demi keselesaan rakyat, terutama Hentian Puduraya yang digunakan 50,000 penumpang sehari.

"Selain Hentian Puduraya, kerajaan juga mahu menambah baik terminal bas utama di setiap negeri," katanya pada sidang media selepas sesi dialog dengan pengusaha bas yang beroperasi di Hentian Puduraya, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran melakukan tinjauan hampir dua jam di Hentian Puduraya.

Mohamed Nazri berkata, isu Hentian Puduraya membabitkan tiga pihak, termasuk kementeriannya, Uda Mall Sdn Bhd (Uda) iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kawal selia Kementerian Kewangan yang mengendalikan hentian itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengenai status Plaza Rakyat bersebelahan Hentian Puduraya sebagai sokongan kepada terminal bas ekspres itu, Mohamed Nazri berkata, projek tergendala sejak 1992 itu akan diteruskan tetapi fungsinya berubah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan bercadang mewajibkan semua pemandu kenderaan awam di menjalani kursus memandu dan etika keselamatan di pusat latihan memandu yang bakal ditubuhkan.





Stesen bas baru Kuala Lumpur

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Mei - Terminal Pengangkutan Bersepadu di Bandar Tasik Selatan akan dijadikan hab bas ekspres tunggal di ibu negara untuk ke semua destinasi di Semenanjung Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, dalam perancangan jangka panjang itu, Hentian Puduraya yang kini sedang dinaik taraf akan berfungsi sebagai hab perkhidmatan bas dalam bandar sahaja.

Sementara itu, katanya, Hentian Duta dan Hentian Putra pula akan ditamatkan operasinya.

"Saya rasa adalah lebih mudah untuk orang ramai pergi ke satu tempat sahaja jika mereka mahu ke mana-mana destinasi di Semenanjung.

"Terminal di Bandar Tasik Selatan itu terletak di kawasan yang strategik, mempunyai ruang yang luas, dihubungkan dengan transit aliran ringan (LRT) dan berdekatan dengan lebuh raya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Interaksi Bersama Pengusaha dan Persatuan Bas di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Terdahulu, mereka bertiga mengadakan lawatan kerja berjadual ke Hentian Puduraya selama dua jam sebagai susulan lawatan mengejut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan dan dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, pemindahan operasi ke Bandar Tasik Selatan itu akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sekitar Puduraya dan Hentian Putra.

Katanya, ia juga memudahkan syarikat bas ekspres mematuhi jadual perjalanan yang sebelum ini kerap terganggu akibat masalah kesesakan di laluan menuju ke Hentian Puduraya.

"Jika hari biasa, dari Puduraya ke Ipoh ia mungkin mengambil masa tiga jam tetapi kalau berlaku kesesakan (di Kuala Lumpur), penumpang mungkin terperangkap sejam setengah tak boleh ke mana-mana," katanya.

Mohamed Nazri berkata, beliau akan mengadakan lawatan kerja dalam masa terdekat ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan untuk melihat apakah pembesaran yang perlu dilakukan bagi menjadikannya sebagai hab bas ekspres.

Katanya, mengikut jadual pembinaan terminal itu dijangka siap pada tahun depan berdasarkan keperluan pada tahun 2002.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Nazri berkata, beliau akan membuat cadangan untuk mengehadkan kelajuan bas ekspres misalnya 90 kilometer sejam dengan memasang alat khas di bahagian enjinnya.

Katanya, cadangan itu adalah untuk memastikan keselamatan penumpang walaupun mereka terpaksa mengambil masa lama untuk tiba di destinasi.

"Walaupun kita pasang sistem kedudukan global (GPS), kalau pemandu rasa nak laju, dia peduli apa... dia laju juga.

"Kerana itu saya cadang nak 'ikat' (had laju) macam di Jepun dan Jerman," katanya.

No comments:

Post a Comment