Wednesday, May 20, 2009

Puduraya dinaik taraf dengan kos RM30.3 juta

Puduraya dinaik taraf dengan kos RM30.3 juta



Mohamed Nazri Abdul Aziz (tengah), Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (kiri) dan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berehat di sebuah restoran ketika mengadakan lawatan kerja ke Hentian Puduraya di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Hentian Puduraya yang dibuka pada 1976 bakal berubah wajah secara drastik apabila kerajaan meluluskan RM30.3 juta untuk kerja-kerja naik taraf bagi keselesaan pengguna.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, antara kemudahan yang disediakan adalah eskalator hingga ke tingkat empat manakala medan selera dan kaunter jualan tiket dipindahkan ke tingkat lain bagi membolehkan ruang menunggu diperbesarkan.

Katanya, orang ramai juga tidak perlu lagi turun ke tingkat paling bawah semata-mata untuk mengetahui ketibaan bas kerana sistem siar raya yang canggih turut disediakan.

"Kerja naik taraf ini akan dilakukan melalui tiga fasa dengan kos RM30.3 juta.

"RM25 juta daripadanya adalah dana kerajaan manakala bakinya sebanyak RM5.3 juta lagi dibiayai oleh UDA Holdings," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis interaksi bersama pengusaha dan persatuan bas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata, fasa pertama kerja naik taraf yang bernilai RM5.3 juta menggunakan pembiayaan UDA Holdings itu sedang giat dilaksanakan.

Katanya, antara kerja-kerja tersebut adalah menaik taraf sistem pencegahan kebakaran, kerja-kerja mengecat, membaiki tandas, dan menyediakan kemudahan pejalan kaki dari Plaza Rakyat.

"Fasa kedua yang menelan belanja RM10.3 juta pula dijangka siap dalam tempoh enam enam bulan antaranya membabitkan naik taraf lif, menukar kipas penyedut asap, memindahkan medan selera dan kaunter tiket masing-masing ke tingkat empat dan satu serta penambahbaikan sistem siar raya.

"Bagi fasa ketiga yang membabitkan kos RM14.7 juta, ia dijangka siap dalam tempoh 12 bulan antaranya pemasangan eskalator, penambahan lif penumpang dan kargo serta naik taraf ruang menunggu," katanya.

No comments:

Post a Comment