Biasiswa JPA bukan isu perkauman
KUALA LUMPUR 19 Mei - Isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjadi rungutan ramai berkait rapat dengan soal ketelusan dan keadilan sistem pengagihannya.
Pemuda Barisan Nasional (BN) malam ini membuat pendirian bersama bahawa isu itu bukannya menyentuh soal perkauman.
Sehubungan itu Pengerusinya, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya menilai kembali mekanisme pengagihan biasiswa tersebut bagi memastikan ia betul-betul berdasarkan meritokrasi dan garis panduan yang ditetapkan.
''Sistem pengagihan sudah cukup baik berdasarkan pada meritokrasi, cuma Pemuda BN berpendapat ia berkaitan dengan soal ketelusan dan keadilan.
''Kami tidak lihat perkara ini daripada kanta perkauman, sebagai contoh kira-kira 280 pelajar mendapat semua A tetapi tidak mendapat biasiswa, yang layak tidak dapat tetapi pada masa yang sama yang tidak layak pula dapat,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda BN kali pertama selepas menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di sini semalam.
Tambah Khairy, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama JPA jika keadaan memerlukan.
Katanya, mesyuarat pada malam tersebut juga menyokong penuh gagasan Satu Malaysia, rakyat didahulukan, prestasi diutamakan.
Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN akan membuat ketetapan untuk mengeluarkan kenyataan bersama dalam sesuatu isu penting, bukannya secara sendiri mengikut parti komponen tertentu sahaja.
Tambahnya, mesyuarat malam ini juga telah bersetuju melantik Neil Foo, wakil MCA sebagai Ketua Strategi Pemuda BN.
Katanya, ia bagi mengukuhkan strategi Pemuda untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang secara tetap dan berkala dan bukannya hanya ketika menjelang pilihan raya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment