Saturday, May 23, 2009

Peminjam Mara membimbangkan

Peminjam Mara membimbangkan


Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS
fairol.ismael@utusan.com.my

ZAINAL Abidin Osman (kiri) memberi kata-kata semangat kepada peniaga-peniaga bumiputera selepas majlis penyerahan cek pinjaman Mara di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 22 Mei - Jumlah peminjam dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang gagal melunaskan pinjaman kini berada pada tahap membimbangkan.

Secara tidak langsung, banyak urusan permohonan baru tergendala kerana ia lewat diproses dan diluluskan akibat kerenah peminjam terdahulu.

Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Zainal Abidin Osman berkata, peminjam sebelum ini sambil lewa dengan melengah-lengahkan atau tidak membayar langsung pinjaman Mara.

"Mereka salah anggap duit pinjaman diterima itu sebagai geran atau tajaan. Sepatutnya, apabila sudah mendapat pinjaman, kenalah bayar balik secara bersistematik.

"Permohonan baru terpaksa lewat diluluskan kerana peminjam lama tak lunas hutang. Sekarang ini, di Pulau Pinang saja, sebanyak RM3 juta nilai permohonan pinjaman baru belum dapat diproses," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan cek pinjaman Mara kepada 22 peniaga bumiputera di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Mara negeri, Ramli Deraman.

Zainal menambah, kebanyakan yang gagal membayar pinjaman terdiri daripada peniaga yang sudah berjaya dan ada juga sengaja buat sambil lewa.

"Kami berharap kepada peminjam terdahulu agar melunaskan pinjaman mengikut waktu dan jumlah yang telah ditetapkan.

"Jika gagal membayarnya, dikhuatiri mereka akan diheret ke mahkamah," katanya.

No comments:

Post a Comment