Sunday, May 24, 2009

Usah sokong resolusi

Usah sokong resolusi

KUALA LUMPUR 23 Mei - Malaysia tidak sepatutnya menyokong resolusi yang dibentangkan Sri Lanka pada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), agar anggotanya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu, kata Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Sambil meminta Malaysia menarik balik sokongan terhadap resolusi itu, Samy Vellu yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta agar Malaysia tidak menyokong sebarang resolusi berkaitan perkara itu.

"Orang Tamil merangkumi 1.4 juta daripada 1.8 juta jumlah anggota masyarakat India di negara ini. Oleh itu, perasaan mereka perlu dihormati. Tribunal Perang perlu ditubuhkan di Sri Lanka untuk membicarakan mereka yang menganjurkan kekejaman terhadap masyarakat Tamil di sana dalam peperangan menentang Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka telah melakukan penghapusan bangsa dan oleh itu wajar dihukum.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa Malaysia telah mempamerkan sokongannya terhadap resolusi yang dibentangkan Sri Lanka di PBB agar pihak luar tidak mencampuri urusan dalamannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment