Sunday, May 24, 2009

Hak rakyat terus terpelihara

Hak rakyat terus terpelihara


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan pesara-pesara yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PPKM Negeri Pahang di Pekan, semalam.


PEKAN 23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, konsep ‘Satu Malaysia’ tidak seharusnya disalahertikan kerana ia masih berlandaskan kepada perlembagaan dengan memastikan hak-hak keistimewaan orang Melayu terus terpelihara.

Tegas Perdana Menteri, gagasan tersebut adalah selari dengan perlembagaan apabila hak-hak kaum lain terus terbela dan dihormati.

‘‘Konsep Satu Malaysia bukan bererti ia tidak berpaksi mengikut perlembagaan kerana ia bertujuan menyatupadukan rakyat menjadi satu bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) cawangan Pahang di Dewan Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Najib menjelaskan, gagasan tersebut bagi memastikan tiada rakyat negara ini terpinggir daripada arus pembangunan.

‘‘Setiap rakyat sama ada daripada kelompok yang kecil atau besar tidak akan terpinggir, sebaliknya mereka akan diberi bantuan secara sama rata,” katanya.

Gagasan itu, jelas beliau, bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat apabila rakyatnya yang berbilang kaum hidup bersatu padu sebagai satu bangsa.

‘‘Kita mahu menyatukan rakyat bagi melahirkan satu bangsa dan satu impian sekali gus menjadikan negara ini kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, ‘senjata’ paling kuat untuk memperkukuh dan menstabilkan kerajaan ialah dengan memenangi hati rakyat.

Usaha memenangi hati rakyat itu, jelas beliau, telah diamalkan sejak negara diancam gerakan pengganas komunis pada era pascamerdeka dahulu.

‘‘Pada era demokrasi moden ini, ‘senjata’ itu terus digunakan dengan memenangi hati rakyat bagi memperkukuh dan menstabilkan kerajaan,” jelasnya.




'Satukan rakyat'

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my


NAJIB menyampaikan hadiah ahli teramai kepada Setiausaha PPKM Temerloh, Shahrin Yusop Ibrahim selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian negeri Pahang di Pekan, semalam.

Konsep 1Malaysia kukuh perpaduan, tidak pinggir Perlembagaan: PM

PEKAN: Pendekatan 1Malaysia bagi memperkukuhkan teras perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini bukan bermaksud kerajaan mengetepikan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih berpegang teguh dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan kerana pendekatan 1Malaysia adalah bagi memastikan tiada kumpulan etnik atau subetnik di seluruh negara yang terpinggir dan tidak diberi perhatian sewajarnya.

"1Malaysia berpaksikan kepada bumi nyata dan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum dan keturunan dalam negara ini, sama ada yang tinggal di rumah panjang, kampung pedalaman dan setinggan mendapat perhatian daripada kerajaan.

"Jika kita dapat satukan mereka, kita dapat wujudkan satu negara bangsa dengan satu impian untuk menjadikan Malaysia lebih kuat, gagah, maju dan berjaya pada masa depan," katanya ketika berucap ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Pahang, di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PPKM Kebangsaan, Datuk Mahmood Pawan Teh dan Yang Dipertua PPKM Pahang, Datuk Abdul Ghani Sulaiman.

Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, memperkenalkan konsep baru bagi pentadbiran kerajaannya iaitu `1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'.

Ia adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri terdahulu dalam agenda membangun serta memajukan negara ini dan juga aspirasinya untuk menterjemah dan meneruskan formula pentadbiran untuk mencapai status negara maju menerusi Wawasan 2020 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang yang diperjuangkan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya juga menggalakkan pesara kerajaan menyuburkan minda serta mementingkan kesihatan kerana ia adalah punca kepada kecergasan fizikal sekali gus masih mampu memberi sumbangan kepada masyarakat, agama dan negara.

"Jika minda kita diisi dengan pengisian yang segar serta sesuai seperti memperbanyakkan membaca buku dan bahan ilmiah, badan kita lebih sihat dan cergas.

"Kecergasan fizikal juga penting dan ini boleh dilakukan dengan bersenam tanpa membabitkan perbelanjaan kerana apabila badan dan minda sihat, umur kita dengan izin Allah boleh bertambah," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, segala tuntutan yang dikemukakan PPKM perlu diteliti Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dulu sebelum dibincang dan diluluskan Kabinet.

Terdahulu, Abdul Ghani dalam ucapannya mengemukakan tuntutan demi kebajikan pesara iaitu memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian pencen minimum RM720 kepada kakitangan awam yang berkhidmat kurang daripada 25 tahun,

Tuntutan lain ialah memberi wang ihsan setiap kali kerajaan mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, memberi pencen terbitan kepada suami atau isteri yang dikahwini selepas bersara dan melantik seorang Senator bagi menjaga hal ehwal golongan pesara di Dewan Negara.

No comments:

Post a Comment