Sunday, May 24, 2009

Isteri, anak Rexy Mainaky cedera diragut

Isteri, anak Rexy Mainaky cedera diragut


KUALA LUMPUR: Isteri dan anak Rexy Mainaky, cedera akibat terjatuh dan diseret sejauh lima meter oleh dua peragut di depan mata ketua jurulatih beregu badminton kebangsaan itu di Cheras, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Henny Mainaky, 40, cedera di bahu dan lengan kanan, manakala anak mereka, Geraldine Mainaky, 13, cedera di belakang badan akibat terjatuh sejurus ibunya ditarik peragut di tempat letak kereta berhampiran sebuah restoran.

Rexy, 41, yang ditemui berkata, kejadian berlaku ketika mereka menuju ke kereta selepas menjamu selera bersama beberapa rakan lain di restoran terbabit.

Katanya, isterinya yang memimpin tangan anak perempuan mereka melintas jalan terlebih dulu, tetapi secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

"Saya melihat isteri saya terjatuh tetapi menyangka dilanggar motosikal itu.

"Bagaimanapun saya terkejut apabila melihat salah seorang lelaki berkenaan menarik beg tangan isteri saya hingga menyebabkan dia dan anak saya terjatuh sebelum diseret penjenayah terbabit," katanya.

Rexy berkata, beliau mengejar kedua-dua peragut yang cuba melarikan diri dan pada masa sama seorang rakannya yang melihat kejadian itu melanggar motosikal suspek dengan kereta dipandu menyebabkan kedua-dua suspek terjatuh di atas jalan.

Katanya, beberapa orang awam membantunya mengejar suspek dan akhirnya berjaya memberkas salah seorang peragut, manakala seorang lagi melarikan diri dengan motosikal.

"Peragut yang ditahan diserahkan kepada anggota polis yang tiba bersama kereta peronda tidak lama selepas kejadian," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan.

Difahamkan, suspek yang ditahan mempunyai enam rekod jenayah lampau, antaranya kes samun dan cabul. Ujian air kencing ke atasnya mendapati beliau positif dadah syabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sudah mengenal pasti identiti seorang lagi peragut.


Peragut diberkas cuba ragut isteri jurulatih badminton

KUALA LUMPUR 23 Mei - Cubaan seorang peragut untuk meragut isteri jurulatih badminton kebangsaan gagal apabila dia tumpas di tangan rakan Rexy Mainaky (gambar) yang bertindak merempuh motosikal dinaikinya dengan kereta.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam sebaik Rexy bersama isterinya dan seorang rakan keluar dari sebuah restoran di Ampang City selepas makan malam. Ketika itu dua suspek bermotosikal menghampiri isteri jurulatih berkenaan.

Kedua-dua suspek yang datang dari arah belakang itu kemudian bertindak menarik beg tangan isteri Rexy, Henny Mainaky, 41, menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret.

Keadaan itu disaksikan oleh rakan Rexy yang berada di dalam sebuah lagi kereta. Dia yang dikenali sebagai Adi segera bertindak merempuh motosikal dinaiki kedua-dua suspek berkenaan.

Rexy ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, ketika kejadian dia berada beberapa meter dari Henny dan pada mulanya menyangka isterinya itu terlibat dalam kemalangan.

"Tetapi saya terkejut kerana mendapati Henny sedang bergelut dengan suspek. Sebaik suspek terjatuh orang ramai datang membantu dan menahan seorang daripada mereka," katanya.

Rexy menambah, dia hanya pergi menyelamatkan isterinya selepas kejadian kerana tidak berani untuk bertindak bimbang suspek memilik senjata.

"Isteri saya kini dirawat di Pusat Perubatan Gleneagles Ampang masih dalam keadaan trauma. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berhubung kes cabul, dadah dan Akta Kediaman Terhad," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis kini memburu rakan suspek berusia 40 tahun itu yang terlepas dan percaya akan dapat menahan suspek dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment