Zahra wanita Islam pertama seberangi Selat Inggeris
PUTRAJAYA: Seorang remaja peminat sukan lasak, Zahra Masoumah Abdul Halim, bakal membawa cabaran negara sebagai wanita Islam pertama berenang menyeberangi Selat Inggeris pada Julai ini.
Zahra Masoumah, 18, yang berasal dari Ipoh, Perak, dijangka bertolak ke Dover, United Kingdom, pada 27 Mei ini untuk menjalani latihan dan penilaian termasuk terpaksa berenang dalam air yang bersuhu sekitar 16 darjah celsius untuk tempoh enam jam bagi membiasakan diri dengan persekitaran air di selat itu.
Anak sulung daripada lima beradik itu dijangka menempuh cabaran sebenar pada 2 hingga 6 Julai ini bagi jarak antara 34 hingga 37 kilometer dalam arus sejuk antara 14 hingga 18 darjah celsius.
Katanya, pada masa ini, beliau berlatih berenang di Lumut, Perak seminggu sekali yang membabitkan jarak renangan 20 kilometer bagi satu sesi.
Zahra Masoumah berkata, keinginan untuk merentas Selat Inggeris muncul pada 2006 apabila dia dimaklumkan oleh jurulatihnya, Arof Osman, bahawa semua perenang dunia bercita-cita untuk merentasnya.
"Ketika itu saya berjaya merentas Selat Dinding, Lumut. Sejak itu saya berazam untuk merentas Selat Inggeris dan akhirnya dapat peluang ini," katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau belum dapat membayangkan cabaran berenang di laut sejuk seperti Selat Inggeris tetapi sedia menghadapinya.
"Saya harap latihan (di laut sejuk) hampir sebulan mulai Jun ini akan dapat membantu kerana sebelum ini saya berlatih untuk membina kekuatan fizikal dari segi jarak dan mengenal pasti arus.
"Saya akan cuba melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu berenang di laut sejuk lebih daripada enam jam dalam latihan nanti," katanya yang akan mendaftar dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lewat bulan depan.
Selain Selat Dinding, Zahra Masoumah pernah merentasi Selat Melaka iaitu dari Langkawi ke Kuala Perlis pada 2007 dan merancang berenang merentas selat sama dari Sumatera ke Port Dickson bulan depan dalam siri latihannya.
Mengenai minatnya untuk berenang, Zahra Masoumah berkata, ia bermula secara kebetulan apabila dia hampir lemas ketika memberi makan ikan di Tasik Chenderoh ketika berusia empat tahun.
"Ketika itu, saya leka beri ikan makan dari atas titi dan secara tiba-tiba tergelincir. Nasib baik ayah selamatkan saya dan bermula dari situ ayah melatih kami adik-beradik berenang," katanya.
Zahra Masoumah adalah anak pasangan Abdul Halim Abd Manaf, 49, pensyarah UiTM dan Haniza Mohamed, Pensyarah Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Zahra sahut cabaran seberangi Selat Inggeris
PUTRAJAYA 18 Mei - Perenang muda, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, akan menyahut cabaran menyeberangi Selat Inggeris sejauh 34 hingga 37 kilometer (km) dalam misinya menjadi perenang wanita pertama berjaya melepasi selat yang sejuk dan berarus deras itu pada 2 hingga 6 Julai ini.
Sekiranya berjaya menamatkan cabaran merentasi selat itu dari Dover, Selatan United Kingdom ke Calais, Utara Perancis, Zahra turut bakal melakarkan sejarah sebagai perenang termuda Islam di dunia yang berjaya melepasi selat itu.
Usaha luar biasa yang cuba direalisasikan oleh remaja tersebut mendapatkan sokongan padu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zahra yang akan melanjutkan pengajiannya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Sukan memberitahu, dia akan ke Dover pada 27 Mei ini dan berada di sana selama sebulan bagi membiasakan diri dengan keadaan suhu air laut yang sejuk.
Adiknya, Salman Ali Syariaati, 12, juga akan ke sana bagi didedahkan dengan pengalaman berenang dalam air sejuk sebelum mengambil ujian kelayakan ke Selat Inggeris pada pertengahan Jun ini.
''Walaupun jarak renangan Selat Inggeris adalah lebih pendek daripada renangan yang pernah saya lakukan sebelum ini, cabaran besarnya adalah cuaca sejuk yang mencecah 15 darjah celsius selain arus air laut yang kuat.
''Latihan saya di sana nanti adalah membiasakan diri dengan keadaan air. Sebelum ini saya tumpukan kepada aspek jarak renangan dan saya perlu melepasi syarat kelayakan iaitu berada dalam air sekurang-kurangnya enam jam," kata Zahra.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang dan tajaan kepada Ekspedisi Tujuh Benua Tujuh Nilai (EE7B7N) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mohktarudin.
Renangan merentasi Selat Inggeris itu merupakan fasa ketiga daripada EE7B7N yang bermula sejak 2004 manakala bagi peringkat kedua fasa tersebut, Muhamad Muqharabbin akan melakukan triathlon dengan berenang dari Dover ke Calais, kembali ke Dover dengan berkayak dan berbasikal ke London sejauh 120 km.
Pada 23 Ogos 2007, Zahra bersama adiknya, Salman yang ketika itu berusia 16 dan 10 tahun hampir memecahkan rekod perenang marathon negara, Datuk Abdul Malik Maidin apabila mengharungi renangan dari Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 43 km dalam lingkungan masa 14 jam.
Ketika berusia lapan tahun, Salman dan kakaknya berjaya merenangi Selat Dinding sejauh 8.9 km.
Kedua-dua perenang muda itu adalah anak kepada pasangan, Abdul Halim Abdul Manaf dan Haniza Mohamed yang masing-masing adalah pensyarah UiTM Cawangan Perak dan Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Pada 3 Ogos 2003, Abdul Malik muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya merentasi Selat Inggeris apabila menamatkan renangan selama 17 jam 30 minit dan 15 saat.
Selepas itu, seorang rakyat Malaysia, Lennard Lee yang juga pelajar perubatan Cambridge University berenang tanpa henti menyeberangi selat itu sejauh 33.6 km dalam tempoh sembilan jam 45 minit pada 15 Julai 2004.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, setakat ini dia berasa yakin Zahra mampu menjayakan misi menyeberangi Selat Inggeris berdasarkan keupayaan stamina dari segi jarak renangan.
''Ini kerana setiap hujung minggu Zahra melakukan latihan sejauh 20 km di Lumut, dari segi kekuatan fizikalnya dia bersedia. Jadi cabaran sekarang ialah soal cuaca sejuk," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum mendapat keputusan muktamad tentang penyertaan Salman untuk turut sama menyertai misi kakaknya.
''Saya difahamkan masalahnya dari segi umur tetapi hairannya mengapa ia hanya membabitkan perenang dari Asia," katanya.
Dalam pada itu, Salman yang tetap bersemangat dengan misi untuk menjadi perenang termuda menyeberangi Selat Inggeris berkata, dia perlu meningkatkan berat badannya bagi menjayakan misi tersebut.
''Cabarannya ialah suhu air laut yang sejuk, jadi saya kena tambah berat untuk menambahkan lemak, kalau tidak nanti tidak tahan sejuk," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment