Oleh Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my
SULTAN Azlan Shah beramah mesra dengan pelajar sambil diperhatikan Tuanku Bainun dan Isteri Raja Di-Hilir Raja Nor Mahani (tiga dari kiri) pada sambutan Jubli Perak dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah, semalam. |
SERI ISKANDAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah sekolah agama perlu memberi perhatian penting dan bergiat aktif menganjurkan program yang dapat memberi peluang kepada pelajarnya berinteraksi dengan kaum lain serta masyarakat bukan Islam.
Baginda bertitah, ia kerana keupayaan memahami dan menghormati penganut agama lain dan kebudayaan yang pelbagai adalah adalah komponen penting dalam proses sosialisasi dan kehidupan bermasyarakat.
"Satu kekurangan yang dihadapi oleh warga di sekolah ini ialah peluang melalui proses sosialisasi dan pendedahan berinteraksi dengan warga Malaysia dari kaum lain dan yang bukan Islam.
"Dunia ini, begitu juga Malaysia mengandungi insan pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama," titah baginda merasmikan sambutan Jubli Perak dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah di sini, semalam.
Sultan Azlan bertitah, pelajar sekolah aliran agama bagaimanapun memiliki kelebihan lain iaitu dapat menguasai dan dilengkapkan dengan dua disiplin ilmu iaitu agama dan akademik secara seimbang, sekali gus berupaya melahirkan insan kamil yang meningkatkan martabat seseorang itu di sisi Allah.
Baginda juga bertitah, ujian sebenar terhadap penghayatan ilmu tidak seharusnya dinilai semata-mata kepada gred pencapaian yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus dinilai ketika seseorang itu menghadapi ujian kehidupan sebenar.
Titah baginda, ilmu yang dihayati sepenuhnya dapat berperanan sebagai dinding, melindungi insan ketika menghadapi ujian hidup serta berupaya mengawal nafsu daripada pengaruh iblis dan syaitan.
No comments:
Post a Comment