Monday, May 18, 2009

Warga Bangladesh ditemui mati depan restoran

Warga Bangladesh ditemui mati depan restoran

Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my


TANGAN mangsa serangan ditemui tidak jauh dari tempat kejadian, di Jalan Klang Lama.

Perut mangsa terburai, tangan putus

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha restoran terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki warga Bangladesh dengan perut terburai dan tangan kirinya putus terbaring di depan restorannya di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang lama, di sini kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata lelaki terbabit, Nurul Amin, 39, dari tapak projek pembinaan berhampiran, dipercayai diserang dengan senjata tajam ketika menunggu bas di seberang jalan.

"Mangsa dipercayai lari menyelamatkan diri sebelum mati di kaki lima sebuah restoran, kira-kira 60 meter dari lokasi kejadian. Polis menolak kemungkinan mangsa disamun kerana barang berharga dan dokumen pengenalan dirinya masih berada dengannya," katanya di sini semalam.

Wan Abdul Bari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan polis meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.




Mayat warga asing putus tangan ditemui

KUALA LUMPUR 17 Mei - Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang dibunuh kejam dengan tangan kirinya putus, ditemui di hadapan sebuah restoran di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini semalam.

Mangsa, Nurul Amir, 39, ditemui terlentang di kaki lima restoran itu oleh pemiliknya yang baru memulakan perniagaan kira-kira pukul 7.20 pagi.

Lebih mengerikan, tangan kiri mangsa yang terputus itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat mayatnya dijumpai.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata, mangsa dipercayai mati akibat kecederaan serius di dada dan seluruh badan.

"Selain tangannya putus ditetak, dia turut ditikam. Mangsa dipercayai cuba melarikan diri selepas diserang sebelum rebah di kaki lima berhadapan restoran terbabit," katanya ketika dihubungi.

Wan Abdul Bari memberitahu, polis bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk menyerang mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Nik Ros Azhan Nik Rozam di talian 03-2274222 sambungan 188.

No comments:

Post a Comment