Monday, May 18, 2009

Pertahan kontrak sosial: Raja Perlis

Pertahan kontrak sosial: Raja Perlis
Oleh Rashidi Karim
bhnews@bharian.com.my

Perlembagaan lindungi kepentingan semua kaum

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam menekankan pentingnya kontrak sosial dipertahankan kerana ia menjadi inti pati dan acuan pembentukan negara demi menjaga hak dan kepentingan semua kaum.

Baginda bertitah, usaha menggagalkan kontrak sosial dianggap suatu penghinaan kepada mereka yang terbabit dalam mengasaskan dan memperjuangkan kemerdekaan serta pembentukan negara pada masa lampau.

Titah baginda, sekarang rakyat mampu menilai sama ada persefahaman yang terjalin ketika pembentukan negara menerusi kontrak sosial itu suatu kebijaksanaan atau kerugian.

"Kitalah yang bertanggungjawab untuk menjayakan atau menggagalkan kontrak sosial ini. Kegagalan kita adalah penghinaan kepada kebijaksanaan nenek moyang kita yang merangka kontrak ini.

"Sanggupkah kita menghina nenek moyang kita akibat daripada prasangka yang cuba ditimbulkan segelintir pihak di kalangan kita masa kini?" titah baginda pada Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-66 di Istana Arau, dekat sini, semalam.

Tuanku Syed Putra turut melahirkan kebimbangan berikutan tindakan sesetengah pihak yang sering membangkitkan isu perkauman dan agama demi mencapai matlamat dan tujuan sempit masing-masing.

Pada majlis itu, Raja Perlis berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Turut menerima DPMP ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Datuk Zamani A Rahim; Panglima Markas 7 Briged, Brig Jen Datuk Abu Musa A Rahman; Pengarah Inspektorat, Brig Jen Datuk Che Akmar Mohd Nor dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Ghana, Datuk Razinah Ghazali.

No comments:

Post a Comment