Monday, May 25, 2009

Semarakkan semangat murah hati

Semarakkan semangat murah hati


Muhyiddin Yassin memotong kek pada Majlis Makan Malam Sanjungan 2009 TSM Charity Golf di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sikap murah hati serta bantu-membantu dikembangkan di negara ini kerana ia akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, sikap ini juga akan dapat memastikan mereka yang miskin dan tidak bernasib baik dapat hidup dengan selesa di Malaysia.

"Semangat ini juga selari dengan semangat Satu Malaysia dan selari dengan harapan kepimpinan negara yang mahu melihat rakyat negara ini hidup selesa dan mereka yang memerlukan pertolongan bukan saja dibantu oleh kerajaan tetapi juga oleh rakyat Malaysia sendiri yang murah hati," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sanjungan 2009 TSM Charity Golf di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin memberitahu, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum merupakan rakyat yang amat pemurah kerana apabila ada pihak yang memerlukan bantuan, ia akan datang daripada semua pihak.

Menurutnya, penderma-penderma ini tidak pernah bertanya untuk siapa derma tersebut dan tidak pernah mengira kepada siapa hendak diberi.

"Derma ini yang mencecah sehingga berjuta-juta ringgit untuk membantu orang miskin, yang mana penderma tidak pernah bertanya adakah ia untuk kumpulan agama tertentu. Ini kerana bagi mereka semuanya adalah rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai TSM Charity Golf, Muhyiddin memberitahu, ia pertubuhan kebajikan kecil diasaskan oleh beliau pada tahun 2003 dan rakan-rakan golf yang berpendapat selain beriadah dan bersukan, golf adalah elok juga berusaha untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

"TSM Charity Golf juga mempunyai tujuan membantu anak-anak muda yang berminat dalam sukan golf maju ke depan memandangkan di Malaysia ramai berbakat dalam bidang tersebut.

"Anak-anak muda ini tidak dapat pergi jauh kerana menyertai banyak acara golf baik di dalam atau luar negara memerlukan perbelanjaan yang besar. Pertubuhan ini mengambil inisiatif membantu pemain muda berbakat tersebut dan kini telah berjaya membantu beberapa pemain sehingga menjadi pemain profesional," katanya.

Muhyiddin memberitahu, beliau yakin sekiranya bakat-bakat muda dalam sukan golf ini dibantu, satu hari nanti Malaysia akan mempunyai pemain berbakat yang akan menjadi 'Harimau Malaysia' dalam golf.

Tambahnya, TSM Charity Golf telah memulakan program untuk membuka pusat dialisis di ibu negara yang akan dapat memberi bantuan kepada pesakit yang memerlukan.

Jelasnya, pembukaan pusat dialisis itu dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi selepas dapat mengenal pasti kawasan untuk membuka pusat tersebut.

Muhyiddin memberitahu, pertubuhan ini juga akan melaksanakan e-tuisyen untuk membantu pelajar-pelajar bagi meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran.

Tambahnya, TSM Charity Golf berhasrat memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang terutama untuk melanjutkan pelajaran di luar negara memandangkan terlalu ramai yang berkelulusan cemerlang pada waktu ini sedangkan biasiswa adalah terhad.

No comments:

Post a Comment