Tuesday, May 19, 2009

Turun padang beri penerangan kepada rakyat - Sultan

Turun padang beri penerangan kepada rakyat - Sultan



Sultan Ahmad Shah dengan disaksikan Rosnah Abd. Rashid Shirlin (kanan), menekan butang jentera pemacak tiang sebagai simbolik acara merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Hospital Rompin di Kampung Kolam, Rompin, semalam.

ROMPIN 18 Mei - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menggesa Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi penerangan kepada orang ramai terutama di kawasan luar bandar berhubung bahaya wabak influenza A (H1N1).

Baginda bertitah, ramai di kalangan penduduk luar bandar masih 'buta' terhadap bahaya wabak itu kerana kurangnya pendedahan dan penerangan.

''Kementerian Kesihatan perlu turun padang memberi penjelasan kepada orang ramai terhadap bahaya penyakit itu dan kaedah pencegahan yang berkesan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah tapak Hospital Rompin di Kampung Kolam di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sultan Ahmad Shah bertitah, penjelasan terperinci terhadap penyakit berkenaan perlu memandangkan ramai di kalangan rakyat yang tidak mementingkan penjagaan kesihatan diri.

Menurut baginda, penjagaan kesihatan diri adalah penting kerana pengabaiannya akan menjadi beban kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

''Penjagaan kesihatan adalah asas kesucian moral yang menjurus kepada kesucian dalam keluarga dan masyarakat," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah meminta Kerajaan Pusat membina sebuah hospital baru bagi menggantikan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan kerana dianggap ketinggalan zaman.

''Oleh kerana Pahang semakin maju, sudah tiba masanya negeri ini mempunyai sebuah hospital baru bagi menggantikan HTAA," titah baginda.

Mengulas pembinaan Hospital Rompin bernilai RM110 juta itu, Sultan Ahmad Shah menggesa supaya pembinaannya dapat disiapkan mengikut jadual pada November 2011.

Menurut baginda, pembinaannya di kawasan seluas 7.7 hektar itu adalah dianggap strategik kerana berada di pintu masuk ke Pulau Tioman.

''Rakyat akan mendapat kemudahan rawatan terbaik di hospital ini terutama ketika dunia dilanda pelbagai penyakit merbahaya," titah baginda.

No comments:

Post a Comment