Tuesday, May 19, 2009

Mangsa kedua mati akibat Leptospirosis

Mangsa kedua mati akibat Leptospirosis


KUALA LUMPUR: Satu lagi kematian akibat penyakit Leptospirosis dilaporkan kelmarin menjadikan dua kes kematian setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam kenyataannya berkata, Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian itu.

Kematian itu, katanya, adalah daripada 23 kes yang dirawat di dua hospital kelmarin.

Selasa lalu, seorang warga Myanmar di Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin di Juru, Pulau Pinang, meninggal dunia dan 26 pendatang lain dirawat kerana dijangkiti penyakit itu.

Leptospirosis adalah penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia disebabkan oleh sejenis bakteria dalam air yang tercemar dengan kencing haiwan seperti tikus dan tupai.

Sementara itu, di GEORGETOWN, Ketua Pengarah Imigresen Negeri, Abdul Rahman Harun, berkata bilangan tahanan pendatang asing di Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin di Juru, yang dijangkiti penyakit Leptospirosis meningkat kepada 35 orang sehingga petang semalam.

Beliau berkata, 10 pendatang dimasukkan kelmarin, manakala dua lagi semalam selepas disyaki mengalami simptom yang konsisten dengan bakteria itu.

“Bilangan masuk atau keluar hospital berlaku dari semasa ke semasa. Sukar mengesan bilangan sebenar tapi dengan kes terbaru ini, seramai 35 pendatang dari depot itu ditahan.

"Seramai 33 pendatang dirawat di Hospital Bukit Mertajam dan dua di Hospital Seberang Jaya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Depot itu menempatkan 552 pendatang asing membabitkan 478 lelaki dan 72 perempuan serta dua kanak-kanak.

Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak akan meletakkan tahanan baru di depot itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pendatang tanpa izin baru akan ditempatkan di Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin, Belantik (Kedah) dan Langkap (Perak) berkuat kuasa serta-merta," katanya.




Leptospirosis: 10 lagi PATI dirawat

BUKIT MERTAJAM 18 Mei - Penularan penyakit leptospirosis di Depot Imigresen Juru di sini belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih apabila 10 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) di depot itu dikejarkan ke hospital kerana mengalami penyakit tersebut.

Ini menjadikan jumlah tahanan yang dimasukkan ke hospital ekoran penularan penyakit itu meningkat semula kepada 33 kes selepas 15 PATI yang dirawat sebelum ini disahkan pulih dan dihantar semula ke depot itu Sabtu lalu.

Sebanyak 31 daripada tahanan berkenaan dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) manakala dua lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya, dekat sini.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahman Harun berkata, 10 tahanan tersebut dikejarkan ke HBM, di sini kira-kira pukul 3 petang semalam selepas pegawai perubatan mengesahkan mereka mengalami penyakit itu.

"Pegawai perubatan yang ditempatkan di depot memaklumkan bahawa 10 tahanan terbabit mengalami sindrom penyakit tersebut dan selepas pemeriksaan lanjut, mereka dikejarkan ke HBM.

"Bagaimanapun, keadaan mereka dilaporkan stabil dan usaha memantau tahap kesihatan tahanan lain di depot masih dijalankan dari semasa ke semasa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Leptospirosis ialah penyakit yang disebabkan leptospira iaitu bakteria yang disebarkan melalui najis haiwan seperti tikus.

Penyakit itu boleh merebak kepada manusia melalui kesan luka, mandi dan minum air yang dicemari atau terkena gigitan haiwan yang membawa penyakit itu.

Seorang tahanan warga Myanmar berusia 21 tahun yang ditempatkan di depot itu meninggal dunia 13 Mei lalu akibat dijangkiti penyakit itu selepas lima hari menerima rawatan di HBM.

Sebanyak 15 PATI yang dirawat di hospital sejak 7 Mei lalu akibat penyakit berkenaan disahkan sudah pulih dan dihantar semua ke depot itu kelmarin.

Abdul Rahman bagaimanapun berkata, 10 tahanan yang dimasukkan ke HBM semalam merupakan pesakit baru, bukan tahanan yang sudah disahkan pulih sebelum ini.

"Keadaan kesihatan 15 tahanan yang dihantar semula ke depot semalam sudah pulih sepenuhnya tetapi pemeriksaan sampel darah kesemua tahanan masih dilakukan dari semasa ke semasa,'' katanya.

No comments:

Post a Comment