Tuesday, May 19, 2009

Perak mohon RM50 juta panjangkan landasan LTSAS

Perak mohon RM50 juta panjangkan landasan LTSAS

SERI ISKANDAR 18 Mei - Kerajaan Perak memohon peruntukan sebanyak RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, surat permohonan tersebut telah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bagi merealisasikan projek berkenaan.

''Saya sudah menulis surat kepada Perdana Menteri memohon peruntukan RM50 juta bagi digunakan untuk projek memanjangkan landasan LTSAS dan berharap beliau dapat meluluskan segera permohonan ini sebaik sahaja menerima surat tersebut.

''Kelulusan itu penting kerana saya anggap projek ini sebagai projek berimpak tinggi yang memerlukan keputusan segera daripada pihak Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Zambry berkata, usaha membuka semula LTSAS untuk kemudahan penerbangan sudah dibincangkan dengan Kementerian Pengangkutan termasuk Menterinya, Datuk Ong Tee Keat.

Dalam perbincangan itu, katanya, beberapa cadangan telah dikemukakan dan antaranya ialah mengekalkan LTSAS dengan memanjangkan landasannya sepanjang 200 meter bagi membolehkan penerbangan jenis Airbus mendarat.

Beliau berkata, terdapat juga cadangan membina lapangan terbang baru di lokasi lain kerana projek memanjangkan landasan LTSAS memerlukan perpindahan beberapa rumah penduduk yang tinggal berhampiran.

''Buat masa sekarang, apa perlu dilakukan ialah memanjangkan landasan LTSAS sepanjang 200 meter walaupun kami tahu masalah lokasinya tidak strategik kerana terdapat beberapa rumah berhampiran terlibat dalam projek ini.

''Dalam masa yang sama, kita juga berbincang untuk mencari kawasan baru untuk membina lapangan terbang dan antara lokasi dikenal pasti ialah daerah Perak Tengah dan Lembah Beriah tetapi belum ada keputusan dicapai setakat ini," katanya.

Zambry berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan Firefly dan AirAsia memohon kerjasama mengadakan penerbangan dari Ipoh ke Singapura; Guanzhou, China dan Medan, Indonesia dalam usaha menjadikan LTSAS sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

No comments:

Post a Comment