Tuesday, May 19, 2009

Perkasa kumpul pelajar bumiputera dinafi biasiswa

Perkasa kumpul pelajar bumiputera dinafi biasiswa

KOTA BHARU 18 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta semua pelajar bumiputera yang gagal mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menyerahkan maklumat penuh mereka kepada pertubuhan tersebut.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi membuktikan tidak semua anak Melayu dan bumiputera lain yang cemerlang mendapat biasiswa itu walaupun dalam Perlembagaan jelas menunjukkan bahawa mereka layak menerimanya.

Beliau berkata, maklumat itu juga amat penting membantu pelajar terbabit serta pertubuhan tersebut untuk menjalankan kajian tentang pelaksanaan sistem kuota sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

''Saya meminta semua pelajar Melayu dan pribumi yang memohon biasiswa JPA tetapi gagal, menyerahkan nama dan maklumat mereka kepada Perkasa.

''Perkasa ingin tahu jumlah yang gagal, kenapa mereka gagal dan adakah kuota milik bumiputera telah dirampas oleh orang lain,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Maklumat tersebut boleh dihantar ke alamat, Pejabat Presiden Perkasa, No. 10.6.6, Tingkat 10, No. 72, Jalan Pahang, 53000 Kuala Lumpur atau melalui e-mel, rosezie2003@yahoo.com.

Rabu lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu kerajaan mengkaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah parti itu mendapat banyak aduan mengenai pelajar terbaik dari beberapa negeri yang tidak menerima biasiswa tersebut.

Tee Keat mahu pemberian biasiswa itu dilakukan berasaskan meritokrasi, dengan tidak menafikan peluang pelajar cemerlang.

Ekoran kenyataannya itu, Perkasa semalam mendesak kerajaan bersikap tegas dengan mengembalikan sepenuhnya hak biasiswa bumiputera.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan hak-hak bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh disentuh sama sekali.

''Kita banyak berkorban dan hak yang sedikit ini perlu dipertahankan supaya nanti kita tidak akan jadi melukut di bumi sendiri dan mengemis meminta simpati untuk meneruskan hidup pada masa depan.

''Sudah sampai masanya kita mempertahankan dan mengembalikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment