Thursday, May 21, 2009

Suhakam: Tidak semua inkuiri dipenuhi

Suhakam: Tidak semua inkuiri dipenuhi

KUALA LUMPUR 20 Mei - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjelaskan, permohonan inkuiri awam tidak semestinya dipenuhi sebaliknya perlu terlebih dahulu diteliti daripada pelbagai aspek dan melalui proses pengumpulan bukti kukuh.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr. Chiam Heng Keng berkata, setiap tindakan suruhanjaya pada setiap masa tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan ia tidak sekali-kali mengatasi keluhuran undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak yang jelas dan termaktub dalam Perlembagaan, oleh itu mereka boleh menyuarakan ketidakpuasan hati dan mencari pembelaan yang sewajarnya.

"Proses itu (inkuiri awam) bukan sesuatu yang mudah kerana ia bakal memberi kesan besar, jadi tidak semestinya setiap laporan atau permohonan segera ditunaikan," katanya kepada pemberita di Pejabat Suhakam di sini hari ini.

Terdahulu, Heng Keng menerima memorandum daripada Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan yang meminta Suhakam segera menubuhkan inkuiri awam bagi menyiasat insiden penahanan lima peguam Biro Bantuan Guaman di Balai Polis Brickfields di sini pada 7 Mei lalu.

Peguam yang ditahan ialah pengerusi biro itu, Ravinder Singh Dhalliwal, Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman dan Syuhaini Safwan. Mereka berumur antara 26 dan 28 tahun.

Mereka ditahan kira-kira pukul 11.45 malam di balai polis itu selepas tidak dibenarkan berjumpa 14 anak guam mereka.

Peguam berkenaan bagaimanapun dibebaskan kira-kira pukul 3 petang keesokan harinya.

Kesemua anak guam itu ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan membantah penahanan aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat yang dikatakan terlibat dalam kempen memakai baju hitam menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Kesavan semasa membentangkan memorandum itu mengemukakan beberapa hujah bagi membolehkan inkuiri awam itu segera ditubuhkan, antaranya:

n Kehadiran lima peguam berkenaan ke balai polis bukan bertujuan menyertai perhimpunan haram sebagai orang awam tetapi menjalankan tugas profesional mewakili anak guam berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah dan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

n Kedua-dua peruntukan undang-undang itu menjamin setiap individu yang ditahan berhak mendapat bantuan guaman dan bagi membolehkan perkhidmatan itu diberikan, mereka perlu hadir ke tempat kejadian.

n Penahanan itu bertujuan menakut dan memalukan mereka yang akan menimbulkan trauma kepada peguam pada masa akan datang untuk tidak hadir ke balai polis bagi membantu mana-mana individu yang ditahan.

No comments:

Post a Comment