Thursday, May 21, 2009

Sebutan semula kes suami isteri hina Sultan Perak 19 Jun

Sebutan semula kes suami isteri hina Sultan Perak 19 Jun

BUTTERWORTH 20 Mei - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 Jun ini sebutan semula kes sepasang suami isteri yang didakwa mengedar komen lucah membabitkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui sebuah laman web pada Februari lalu.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar permohonan pihak pembelaan hari ini yang mahu mengemukakan bantahan awal dalam pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Khoo Hui Shuang, 27, didakwa melakukan perbuatan itu bersama suaminya, Chan Hon Keong, 26, melalui laman web http://books.dreambooks.com/duliduli.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak www.sultanperak.gov. my.

Pasangan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Permatang Pauh di sini kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 292 kanun sama yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut.

Kedua-dua tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen lucah itu melalui laman web sama dengan niat menyakitkan hati orang lain di tempat, waktu dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa mengikut Subseksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pasangan itu diwakili peguam Jagdeep Singh Deo manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Sementara itu, Jagdeep turut memohon mahkamah menasihatkan pihak media supaya tidak menyiarkan alamat kedua-dua tertuduh yang dikatakan menerima surat ugutan baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment