Thursday, May 21, 2009

1Malaysia: Program TV, radio dirombak

1Malaysia: Program TV, radio dirombak


RAIS (dua dari kiri) bersalaman dengan warga kerja kementerian di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhamad, Sungai Gadut, semalam.

SEREMBAN: Perubahan yang akan dilaksanakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam program televisyen dan radio demi merealisasikan konsep 1Malaysia akan dapat dilihat secara menyeluruh sebulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kementerian memberi jaminan perubahan yang dilaksanakan itu nanti tidak akan membosankan orang ramai yang menonton atau mendengarnya.

"Kementerian sudah menubuhkan panel khas bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan input masing-masing ke arah memperbaiki program televisyen dan radio.

"Oleh kerana perubahan seperti itu memerlukan masa sedikit, saya memohon masyarakat bersabar kerana dalam tempoh sebulan atau lebih sedikit kita akan dapat melihat pembaharuan yang lebih konkrit dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan warga kerja kementerian di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhamad, Sungai Gadut, dekat sini, semalam.

Rais berkata, kementerian mengakui industri penyiaran tempatan banyak menerima bahan serta program yang diimport tanpa mengira sama ada ia sesuai dalam usaha membina dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Bagaimanapun, kementerian akan menyaring setiap program itu bagi memastikan elemen dan mesej pembangunan negara dan bangsa wujud di dalamnya. Pada masa sama, kita akan pastikan ia tetap menarik dan menghiburkan," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, kementerian sedang meneliti tanggungjawab serta terma perkhidmatan bagi hampir 2,000 pegawai penerangan dan penerangan khas (Jasa) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

No comments:

Post a Comment