Thursday, May 21, 2009

KOTA BUKU

KOTA BUKU



SEKOLAH Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Jalan Batu di Kuala Lumpur bakal berubah wajah setelah dipilih untuk dijadikan pusat berkelompok bagi menjalankan aktiviti dan urusan berkaitan dengan dunia buku secara lebih tersusun dan bersungguh-sungguh.

Pusat dinamakan Kota Buku yang terletak di Jalan Raja Laut itu apabila siap sepenuhnya tahun depan bakal menjadi nukleus bagi membolehkan para usahawan, persatuan dan perusahaan membabitkan buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Kewujudan pusat itu dilihat mampu memberi manfaat besar kepada para sasterawan, penerbit, usahawan dan masyarakat pembaca di negara ini, selain menarik minat pengusaha buku di Asia untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat dagangan buku utama di rantau ini.

Apabila beroperasi nanti, ia bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur sekali gus tarikan pelancong dengan imej sebagai Kota Raya Ilmu.

n Pemandangan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur dari bangunan Sime Darby dan bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. – UTUSAN/Noor Asrekuzairy Mat Salim




Kota Buku beri kesan positif kepada negara

KUALA LUMPUR 20 Mei - Idea kerajaan mewujudkan kota buku bagi membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan karya mampu memberi kesan positif kepada pembangunan sekali gus menampilkan imej baru negara.

Pensyarah di Jabatan Sosio Budaya Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, kota buku mampu menggalakkan penerbit buku berbahasa Melayu terus berkecimpung dalam industri penerbitan di negara ini.

"Dengan adanya kota buku ini, kita akan menempatkan penulis-penulis serta penerbit buku secara lebih berpusat.

"Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kota ini dan ia juga salah satu usaha kita memastikan terbitan karya bahasa Melayu terus mendapat tempat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kota buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini.

Menurut Muhyiddin, projek yang akan diselenggarakan Kementerian Pelajaran itu akan mengumpulkan para penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, kota buku itu akan menjadikan Malaysia sebaris dengan negara lain yang mempunyai kota buku seperti kompleks bandar raya buku di Tehran, Iran dan Shenzen, China.

"Malah kota buku juga mercu tanda baru kepada negara. Jika sebelum ini pengunjung melawat tempat-tempat menarik lain namun kini kota buku menjadi destinasi yang perlu dilawati," katanya.

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berkata, penubuhan kota buku mampu menggalakkan budaya suka membaca dan seterusnya melahirkan generasi yang berilmu.

"Penubuhan kota buku mampu menggalakkan masyarakat terutama generasi muda mencintai ilmu dan kaya dengan pengetahuan.

"Apabila kita berilmu, ia menjadikan masyarakat matang dan membuat keputusan secara waras, kreatif dan lebih berdisiplin," katanya yang banyak menulis buku-buku psikologi.

Tambah Saedah, kota buku juga berperanan menjadi saluran utama bagi promosi dan jualan buku tempatan serta sebagai pusat penterjemahan buku dalam pembelajaran bahasa Melayu.

"Jika sebelum ini, buku rujukan hanya boleh didapati dalam bahasa Inggeris namun hari ini kota buku akan berperanan menjadikan pusat penterjemahan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment