Tuesday, May 26, 2009

Peguam saman Badan Peguam

Peguam saman Badan Peguam

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Mei - Sebuah buku mengenai kes pembunuhan majikan oleh seorang amah warga Indonesia yang ditulis oleh seorang peguam dikatakan mendapat sambutan hangat ketika diterbitkan tahun lalu.

Malahan, Badan Peguam Malaysia yang dibenarkan menjual buku tersebut telah dibayar hampir 50 peratus daripada hasil jualannya di premis tersebut.

Bagaimanapun pada awal April lalu, peguam tersebut, K. Vijayandran terkejut apabila diberitahu bahawa Majlis Peguam sedang meneliti bukunya itu yang bertajuk No intention to kill (Tiada Niat Untuk Membunuh).

Ia bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan peguam berkenaan melanggar Peraturan-Peraturan Profesion Guaman (Publisiti) 2001 dan Peraturan-Peraturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978, selain Peraturan-Peraturan dan Perintah Majlis Peguam 2008.

Namun begitu, perkara tersebut hanya diketahui oleh beliau selepas permohonannya untuk menggunakan dewan Majlis Peguam bagi majlis pelancaran buku keduanya bertajuk Presumed Guilty (Dianggap Bersalah) ditolak.

Kesal dengan penolakan tersebut, Vijayandran hari ini memfailkan saman terhadap Badan Peguam Malaysia bagi menuntut ganti rugi yang dianggarkan berjumlah RM160 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Vijayandran yang telah dua dekad menceburi bidang guaman selaku plaintif menamakan Badan Peguam Malaysia yang bertindak melalui Majlis Peguam sebagai defendan.

Dalam saman tersebut, beliau menuntut perisytiharan bahawa tindakan menghalangnya menggunakan dewan defendan sama ada secara lisan pada 1 April atau bertulis pada keesokan harinya melalui Majlis Peguam adalah melanggar hak beliau di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menuntut perisytiharan bahawa keputusan defendan melalui surat bertarikh 6 April, 13 April dan 15 Mei lalu yang menolak permohonannya menggunakan premis Majlis Peguam adalah tidak munasabah, batal dan tidak sah.

Turut dituntut ialah perintah untuk memaksa defendan membenarkan beliau menggunakan premis Majlis Peguam pada tarikh yang dipilih sendiri oleh peguam itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Vijayandran mendakwa, beliau telah menulis dan menerbitkan buku No Intention to kill berdasarkan kisah anak guamnya, iaitu seorang amah warga Indonesia yang dituduh membunuh majikannya tetapi akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dakwanya, selain dijual di gedung-gedung buku terkemuka, beliau turut diundang untuk menceritakan pengalamannya dalam kes itu kepada ahli-ahli Majlis Peguam pada 11 September tahun lalu.

Bagaimanapun, dakwanya, masalah timbul apabila permohonan untuk melancarkan buku keduanya mengenai ibu muda yang didakwa mengedar dadah bertajuk Presumed Guilty di premis defendan ditolak tanpa sebarang alasan.

Dakwanya lagi, selepas didesak, Setiausaha Majlis Peguam melalui surat bertarikh 13 April lalu menyatakan bahawa permohonannya itu ditolak kerana Jawatankuasa Profesion Guaman telah diarahkan menyiasat sama ada terdapat pelanggaran peraturan-peraturan Majlis Peguam berhubung penerbitan buku pertamanya.

Dengan itu, plaintif mendakwa, defendan telah menyebabkan diskriminasi terhadap beliau sebagai ahli Badan Peguam Malaysia dan melanggar hak asasinya yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment