Tuesday, May 26, 2009

Belum cadang hapus tol LDP

Belum cadang hapus tol LDP

Oleh AMRAN AHMAD
pengarang@utusan.com.my

PETALING JAYA 25 Mei - Kerajaan belum bercadang menghapuskan bayaran tol di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Thomas George berkata, bagaimanapun kerajaan sedang menjalin kerjasama dengan syarikat korporat bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat khususnya pengguna harian LDP.

"Selain mengurangkan bayaran tol, kerjasama di antara kerajaan dan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) selaku firma pengendali LDP mampu mengurangkan kesesakan di kaunter bayaran terutama pada waktu pagi dan petang," katanya selepas melancarkan Program Pengguna Kerap LDP di sini hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor turut mengedarkan kad Touch 'n Go kepada pengguna lebuh raya berkenaan bersama-sama Pengerusi Litrak, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob.

LDP yang memulakan operasinya kira-kira 10 tahun lalu mempunyai perjanjian konsesi sehingga 2032 dan menerima sejumlah 1.4 juta kenderaan dalam masa sehari.

Daripada sejumlah 1.4 juta pengguna lebuh raya itu setiap hari, hanya sekitar 400,000 pengguna yang membayar tol antara 80 sen sehingga RM1.60 mengikut jenis kenderaan yang dipandu.

Thomas berkata, kerjasama seperti itu akan diperkukuhkan lagi sejajar dengan usaha kerajaan mengurangkan beban bayaran kos pengangkutan yang ditanggung rakyat terutama untuk berulang alik ke tempat kerja.

"Kita harus ingat bahawa semua servis yang disediakan melibatkan tanggungan kos yang harus dibayar, langkah ini adalah permulaan kepada lebih banyak kerjasama dalam mengurangkan beban rakyat," tambahnya.

Sementara itu, Wan Abdul Rahman berkata, program tersebut memberi manfaat kepada pengguna kerap LDP menerusi bonus isian tambahan kad Touch 'n Go dan mengelak daripada kesesakan di kaunter bayaran tol.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh syarikat itu bagi mengurangkan beban kewangan pelanggan di negara ini.

No comments:

Post a Comment