Tuesday, May 26, 2009

Tambang pengangkutan wajar naik

Tambang pengangkutan wajar naik

KUALA LUMPUR 25 Mei - Langkah kerajaan mengkaji semula kadar tambang pengangkutan awam di negara ini disifatkan oleh pengusaha terlibat sebagai tindakan yang wajar kerana kadar sedia ada tidak dapat menampung kos operasi mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perkepli), Datuk Aslah Abdullah berkata, kadar kenaikan itu munasabah kerana ia mampu mengurangkan beban pengusaha perkhidmatan.

"Sebelum ini pemandu teksi mengenakan tambang sebanyak RM2 untuk dua kilometer pertama tetapi kadar baru mungkin sebanyak RM3.

"Walaupun kenaikan yang diberi masih belum mencapai 30 peratus seperti diminta oleh persatuan, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai kertas cadangan kenaikan tambang pengangkutan awam yang dijangka diumumkan oleh LPKP seperti dilaporkan akhbar hari ini.

Mohamed Nazri berkata, kadar baru itu hanya akan dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan Kebinet.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, kenaikan tersebut sememangnya amat dinanti-nantikan.

"Meskipun kenaikan ini akan memberi sedikit bebanan kepada penguna, mereka perlu bersikap positif.

"Situasi ini tidak akan berlaku sekiranya kerajaan dapat mengurangkan harga diesel sekurang-kurangnya RM1 seliter atau memberikan subsidi kepada pengusaha bas," ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih kabur dan belum ada pengesahan daripada kerajaan.

No comments:

Post a Comment