Tuesday, May 26, 2009

Usaha bawa Chin Peng pulang mesti dihalang

Usaha bawa Chin Peng pulang mesti dihalang


SEREMBAN: Kementerian Pertahanan menentang sebarang usaha membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, kembali ke negara ini kerana tindakan itu akan menghiris perasaan anggota pasukan keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu juga akan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika zaman darurat.

"Jika diberi pengiktirafan terhadapnya (membenarkannya kembali), rasa terhiris dan kelukaan itu pasti akan lebih dirasai. Ini bukan sentimen perkauman, tetapi rasa patriotisme yang tertanam dalam jiwa anggota tentera yang sudah bersara atau masih bertugas.

"Ada bekas anggota tentera yang bertanya kepada saya mengapa pengganas komunis yang sudah menyerah diri diberi tanah, tetapi mereka yang bersara kerana memperjuangkan kedaulatan negara tidak mendapat kemudahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembabitan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Kem Seri Perkasa, Mantin, dekat sini semalam.

Ahmad Zahid mengulas mengenai saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan, supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu kembali ke negara ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap jika ada parti politik yang mahu memperjuangkan Chin Peng supaya memahami hati dan jiwa anggota tentera, terutama mereka yang kehilangan saudara-mara akibat terkorban ketika menentang PKM.

No comments:

Post a Comment