Friday, May 22, 2009

Suspek bertindak sendirian

Suspek bertindak sendirian

Oleh ANGELINA SINYANG
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 21 Mei - Polis percaya penagih dadah yang ditangkap selepas merompak dan membunuh seorang pengusaha salon bersama anak lelakinya yang berusia lima tahun serta seorang pembantu rumah di Taman Pinji Seni di sini semalam, bertindak sendirian semasa melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek melakukan jenayah tersebut sendirian tanpa dibantu oleh sesiapa.

"Kami sudah menemuramah beberapa jiran mangsa dan saksi yang melihat kejadian itu.

"Hasil keterangan mereka, kami percaya suspek bertindak sendirian semasa melakukan rompakan dan pembunuhan tersebut tetapi siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes rompak dan bunuh pengusaha salon, Wah Yah Matzi, 42, dan anak lelakinya, Ermin Denish yang mati ditikam dalam kejadian di rumah mereka di Taman Pinji Seni pada pukul 2.45 petang semalam.

Dalam kejadian itu, seorang pembantu rumah warga Indonesia, Dani Miasih, 21, yang baru seminggu bekerja dengan keluarga berkenaan turut mati ditikam.

Menurut Azisman, suspek yang berusia 26 tahun itu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini kerana mengalami kecederaan semasa bergelut dengan orang awam yang menangkapnya.

Beliau berkata, polis bagaimanapun sudah mendapatkan perintah dari mahkamah untuk menahan reman suspek bagi siasatan lanjut selama seminggu bermula hari ini sehingga Rabu depan.

Tambah Azisman, pihaknya juga sudah menghubungi Kedutaan Indonesia untuk menguruskan penghantaran pulang jenazah Dani ke kampungnya di Blitar, Indonesia.

"Jenazah pembantu rumah itu diserahkan kepada Kedutaan Indonesia hari ini untuk dihantar pulang ke negaranya," katanya.

No comments:

Post a Comment