Friday, May 22, 2009

Suspek kes bunuh direman seminggu

Suspek kes bunuh direman seminggu


IPOH: Suspek kes bunuh dua beranak dan pembantu rumah mereka di Taman Pinji Seni di sini, kelmarin ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu masih ditempatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk rawatan lanjut akibat tercedera ketika bergelut dengan orang awam yang menahannya, petang hari kejadian.

Katanya, setakat ini polis mendapati hanya suspek seorang terbabit dalam kejadian itu, tetapi siasatan akan diteruskan jika dia mempunyai rakan membantunya melakukan jenayah kejam itu.

"Polis menahan reman suspek ini selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang melawat suami mangsa, Jafri Tajul Ariffin dan tiga anaknya, di rumah bapa mangsa di Kampung Seri Kinta, semalam.

Dalam kejadian samun di rumah mereka di Taman Pinji Seni, petang kelmarin, Wah Yah Mat Zi, 42, mati dibunuh bersama-sama anak lelakinya berusia lima tahun, Ermin Denish Jafri dan pembantu rumah warga Indonesia, Dani Miasih, 21.

Beliau berkata, suspek juga akan disiasat sama ada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan samun dan membunuh semua mangsa yang berada di rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment