Friday, May 22, 2009

Juadah terakhir jadi kenangan

Juadah terakhir jadi kenangan

Oleh Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my


Meratap pemergian orang tersayang: Jafri Tajul Ariffin bersama anaknya, Nur Afini (dalam pelukan) dan Aizat Addreen sayu ketika jenazah isterinya, Wah Yah Mat Zi, disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Bendahara, Ipoh, semalam. Pengusaha salun itu dibunuh dalam rompakan di kediaman mereka di Taman Pinji Seni, kelmarin. Turut terkorban dalam kejadian itu, anak bongsu Jafri, Ermin Danish dan pembantu rumah, Dani.

Pemilik salun sempat masak 4 lauk sebelum dibunuh kejam bersama anak, amah

IPOH: "Ibu jarang masak namun pada hari kejadian dia bangun awal pagi untuk menyediakan empat jenis masakan untuk juadah kami sekeluarga dan kakitangan salun," kata anak sulung pemilik salun, Wah Yah Mat Zi, 42, yang dibunuh kejam seorang perompak di rumahnya di Taman Pinji Seni di sini, petang kelmarin.

Aizat Addeen Jafri, 17, berkata sebelum meninggalkan salun untuk menghantar adiknya, Nur Safura Jafri, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Perempuan Methodist, ibunya turut berpesan supaya Aizat dan kakitangan salun menikmati lauk pauk yang disediakan itu untuk makan tengah hari.

"Ibu bersungguh-sungguh masak pada awal pagi itu, tak pernah dibuatnya sebelum ini. Rupa-rupanya masakan ibu itu adalah masakan terakhir untuk kami apabila dia dibunuh oleh seorang perompak ketika pulang ke rumah mengambil telefon bimbit," kata Aizat ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang kelmarin itu, adik bongsu Aizat, Ermin Denish Jafri, 5, dan pembantu rumahnya warga Indonesia, Dani Miasih, 21, turut menjadi mangsa bunuh perompak yang tidak berhati perut itu.

Wah Yah dikatakan sedang berbual melalui telefon bimbit dengan suaminya, Jafri Tajul Ariffin, 47, sebelum perompak bersenjatakan pisau tiba-tiba meluru masuk ke rumah yang tidak berkunci.

JAFRI TAJUL di pusara isteri dan anak bongsunya selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Jalan Bendahara, Ipoh, semalam.

"Saya tak sangka kejadian itu boleh menimpa keluarga saya," katanya yang mengetahui kejadian itu selepas rakan bapanya menelefon ke salun ketika dia sedang menjaga salun yang terletak di pusat membeli-belah Greentown, dekat sini.

"Sejurus menerima panggilan telefon, saya bergegas pulang bersama beberapa rakan lain dan terkejut melihat polis serta orang ramai sudah berkumpul di sekitar rumah," katanya.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan itu terutama Jafri bersama tiga anak mereka, Aizat Nur Safura dan Nur Afini, 10, yang sebak dan tidak berhenti-henti menangis kerana kejadian malang yang menimpa keluarga mereka.

Kedua-dua jenazah dibawa dari rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ke tanah perkuburan berkenaan dengan dihadiri 200 ahli keluarga, saudara mara dan rakan yang ingin memberi penghormatan terakhir.

Tepat jam 10.50 pagi, kedua-dua jenazah dimasukkan ke dalam satu liang lahad disaksikan oleh orang ramai dalam suasana sayu.

Ahli keluarga dan orang ramai beredar dari tanah perkuburan itu jam 11.35 pagi, sejurus upacara pengebumian selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mayat pembantu rumah Indonesia, Dani Miasih, 21, dari Blitar, Jawa Timur, Indonesia masih berada di rumah mayat HRPB.

"Kami masih menunggu ibu mangsa untuk menuntut mayat itu dan lokasi pengebumian masih belum ditetapkan sama ada dibawa pulang ke negara asal atau disemadikan di sini," katanya.



Mummy masak banyak lauk – Anak mangsa


NUR Afini Jafri menyiram air di pusara adiknya, Ermin Denish di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara Ipoh, semalam.


IPOH 21 Mei – ‘‘Pagi semalam, saya hairan lihat mummy masak banyak lauk untuk hidangan tengah hari sedangkan waktu makan masih lambat.

‘‘Rupa-rupanya mummy ingin saya dan adik-adik menikmati sepuas-puasnya masakannya buat kali terakhir,” kata Aizat Addreen Jafri, 17, dalam nada sebak ketika ditanya kenangan terakhir bersama ibu tercinta.

Aizat Addreen merupakan anak sulung kepada Wah Yah Matzi iaitu pengusaha salon yang mati ditikam oleh seorang penagih dadah yang merompak rumahnya di Taman Pinji Seni di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, anak bongsu Wah Yah berusia lima tahun, Ermin Denish dan pembantu rumahnya dikenali sebagai ‘Dani’ turut mati ditikam.

Aizat Addreen yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini hari ini memberitahu, ibunya yang sudah lama tidak memasak kerana kesibukan kerja tiba-tiba menyediakan empat jenis lauk untuk hidangan tengah hari yang menyelerakan pada awal pagi semalam.

Katanya, sebahagian makanan itu kemudian dihantar ke salon di pusat perniagaan Greentown Mall di sini untuk dinikmati oleh para pekerja ibunya di situ.

‘‘Selepas menghantar makanan, mummy pulang semula ke rumah untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal manakala saya pula tiada di rumah kerana menghantar adik ke sekolah,” katanya yang sudah berhenti sekolah dan bekerja membantu ibunya di salon.

Aizat Addreen berkata, dia hanya mengetahui ibu, adik dan pembantu rumah mereka mati dibunuh apabila dihubungi melalui telefon oleh seorang rakan bapanya.

Sementara itu, jenazah Wah Yah dan Ermin Denish selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara pada pukul 10.50 pagi ini.

Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan apabila suami Allahyarham, Jafri Tajol Aripin, 47, Aizat Addreen dan dua adiknya, Nur Safura, 13, dan Nur Afini, 10, masing-masing gagal menahan air mata tatkala melihat kedua-dua jenazah diturunkan ke liang lahad

No comments:

Post a Comment