Friday, May 22, 2009

Pembelaan kes bunuh pensyarah UiTM 31 Julai

Pembelaan kes bunuh pensyarah UiTM 31 Julai


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 31 Julai untuk mendengar hujah pembelaan dalam kes bunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakaruddin Busu, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Ideres Muhammad Rapee menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh ketiga, Azizul Azual Mohamad Jailani, memberitahu mahkamah pihaknya tidak mempunyai saksi lain selepas kakak ipar anak guamnya selesai memberikan keterangan, 19 Mei lalu.

Muhammad Ideres juga menetapkan 28 Ogos untuk pendakwa mengemukakan hujah balas dan 21 Oktober bagi membacakan keputusan sama ada ketiga-tiga tertuduh disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan.

Pada 14 Julai 2003, eksekutif pembangunan perniagaan, Sulkarnain Alias, 33 (tertuduh pertama); operator pengeluaran kilang, Noorman Ab Wahab, 30 (tertuduh kedua); dan pekerja sambilan kedai komputer, Azizul, 26; dituduh membunuh Bakaruddin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya, jam 9.30 malam, 12 Februari 2002.

Mayat Bakaruddin ditemui dalam longkang besar di kawasan itu keesokan hari. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dihukum mati mandatori.

Kekasih Sulkarnain, Siti Rahmah Azman Subramaniam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan dan bekas penuntut Bakaruddin di UiTM, lepas tanpa dibebaskan dan menjadi saksi utama pihak pendakwaan.





Keputusan kes bunuh Bakarudin Oktober

KUALA LUMPUR 21 Mei - Nasib tiga lelaki yang dibicarakan atas tuduhan membunuh pensyarah sains sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu, hampir lapan tahun lalu akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 2 Oktober ini.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee menetapkan tarikh tersebut setelah pihak pembelaan hari ini menutup kes selepas memanggil enam orang saksi termasuk ketiga-tiga tertuduh untuk memberi keterangan.

Eksekutif jualan, Sulkarnain Alias, 32, Noorman Abdul Wahab, 31, dan Azizul Azual Mohamad Jailani, 26, dituduh bersama-sama membunuh Bakarudin, 35, pada pukul 9.30 malam, 12 Februari 2002 di Jalan SS19/6, Subang Jaya, dekat sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut menetapkan 31 Julai ini untuk mendengar hujahan peguam-peguam yang mewakili tertuduh manakala hujahan pihak pendakwaan dijadualkan pada 28 Ogos ini.

Kes itu dibicarakan sejak 17 Mei 2004 dengan pihak pendakwaan memanggil 30 saksi termasuk bekas teman wanita Sulkarnain, Siti Rahmah Azman Subramaniam yang pada awalnya dinamakan sebagai tertuduh pertama.

Siti Rahmah dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Bakarudin pada 14 Julai 2003 sebelum ditawarkan menjadi saksi kepada pihak pendakwaan.

Seorang lagi tertuduh, Muhamad Zakwan Ahmad Zaki yang merupakan tertuduh keempat dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada 3 Julai 2007.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala Sulkarnain diwakili oleh peguam bela-peguam bela, Datuk Shukri Mohamad dan Siti Zabedah Kasim.

Noorman diwakili oleh peguam K. Viknesvaran manakala Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Mohd. Tajuddin Abd. Razak mewakili Azizul Azual.

Mengikut laporan akhbar, mayat Bakarudin ditemui dalam keadaan terbakar di Jalan SS19/6, Subang Jaya dan dua batang jari kanan Bakarudin telah dipotong.

Menurut keterangan pakar patologi forensik yang mengendalikan bedah siasat ke atas mayat Bakarudin sebelum ini, allahyarham menemui ajal ekoran kecederaan parah pada bahagian atas dan belakang kepala hingga sebahagian otaknya terkeluar.

Allahyarham turut mengalami 13 bahagian luka pada kepala, tangan dan badan akibat tetakan senjata tajam iaitu parang dan pedang. Mayat mangsa juga dibakar selepas meninggal dunia kerana tiada sebarang penemuan kesan asap dalam salur pernafasannya.

No comments:

Post a Comment