Saturday, May 16, 2009

Tee Keat jangan buta sejarah

Tee Keat jangan buta sejarah

Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 15 Mei - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat diingatkan supaya tidak buta sejarah apabila mempersoalkan peruntukan biasiswa untuk orang Melayu sedangkan ia termaktub sebagai hak istimewa kaum itu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, sebagai pemimpin kanan dalam kerajaan, Tee Keat tidak patut lupa yang Perlembagaan telah digubal setelah mengambil kira tolak ansur antara semua kaum di negara ini.

''Kalau beliau lupa saya nak beritahu, biasiswa yang merangkumi hak istimewa Melayu dinyatakan dalam Perlembagaan melalui Perkara 153 sebagai sebahagian tolak-ansur orang Melayu terhadap dasar kerakyatan kepada bangsa asing.

''Maka jangan kita lupa soal sejarah mengapa ada peruntukan khas dimasukkan dalam Perlembagaan. Kalau nak dipersoalkan maka kita orang Melayu juga ada perkara nak dipersoalkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tee Keat kelmarin yang mahu kerajaan mengkaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah MCA mendapat banyak aduan mengenai pelajar terbaik dari beberapa negeri yang tidak menerima biasiswa tersebut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan bersikap tegas dengan mengembalikan sepenuhnya hak biasiswa bumiputera.

Sementara itu, Osman berkata, semua pihak di negara ini perlu berpegang kepada Perlembagaan yang telah menggariskan dengan jelas tentang hak setiap kaum di negara ini.

Katanya, malah setiap yang terkandung dalam Perlembagaan itu juga adalah berupa tolak-ansur semua kaum di Malaysia sewaktu kemerdekaan yang diakui sebagai ramuan yang berjaya membentuk negara ini.

''Pada saya kita kena terima perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan termasuk biasiswa yang diperuntukkan khas untuk orang Melayu kerana persetujuan 50 tahun dulu dicapai untuk membantu orang Melayu dalam pendidikan,'' katanya.

Menurut beliau, jika semua pihak terus mempersoalkan apa yang dipersetujui maka ia akhirnya hanya akan menjejaskan keharmonian berbilang kaum di negara ini.

Beliau juga meminta Tee Keat tidak menggunakan konsep Satu Malaysia sebagai alasan untuk menuntut biasiswa berkenaan.

Menurutnya, ini kerana konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak menghapuskan peruntukan Perlembagaan bagi membantu orang Melayu.

"Kalau begitu, orang Melayu misalnya juga boleh persoal mengapa penguasaan ekonomi tidak seimbang selain menuntut kerajaan supaya memperluaskan bantuan kepada orang Melayu dalam pendidikan,'' tegasnya.

No comments:

Post a Comment